Ketua Pemuda persis Akmal tak jadikan Bersatu lebih inklusif, kata penganalisis

Ketua Pemuda persis Akmal tak jadikan Bersatu lebih inklusif, kata penganalisis

Oh Ei Sun berkata parti berpaksikan Melayu itu sudah hilang arah politik dengan pemimpinnya berusaha menyegarkan semula parti.

Baru-baru ini Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang akan berundur daripada jawatan ketua Pemuda Bersatu menggesa parti itu menawarkan naratif lebih luas memperjuangkan semua kaum dan agama.
PETALING JAYA:
Bersatu tidak boleh berharap mempunyai seorang ketua Pemuda lantang seperti Dr Akmal Saleh daripada Umno, sambil berusaha menjadi lebih inklusif dan menarik sokongan bukan Melayu, kata penganalisis politik.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata, ketua Pemuda Bersatu yang akan berundur, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, tidak boleh mengharapkan partinya mencapai kedua-dua matlamat itu dalam usaha memulihkan pengaruhnya yang semakin merosot.

Azmil Tayeb
Azmil Tayeb.

“Ia bercanggah dan mustahil untuk Bersatu capai,” katanya kepada FMT.

Azmil berkata, parti berpaksikan Melayu itu sepatutnya beralih ke arah pendekatan lebih inklusif dan sederhana untuk membezakan ia daripada Umno.

Katanya, ini akan meningkatkan prospek Bersatu ketika bersaing di kawasan mempunyai pengundi berbilang kaum.

“Kawasan majoriti Melayu kini sesak dengan pelbagai parti. Bersatu mempunyai peluang yang lebih baik di kawasan bercampur.

“Tetapi cabarannya ialah Bersatu perlu meyakinkan pengundi bukan Melayu bahawa ia benar-benar ikhlas dan inklusif, dengan melihat sejarah lalunya. Parti ini perlu memberi tumpuan kepada isu ekonomi dan keperluan hidup, bukan hanya isu kaum dan agama,” katanya.

Azmil berkata, Bersatu perlu meyakinkan pengundi muda Melayu bahawa perkara utama dihadapi komuniti mereka adalah isu ekonomi bukannya kaum.

Dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini, Wan Fayhsal menggesa Bersatu menawarkan naratif lebih luas memperjuangkan semua kaum dan agama tanpa melupakan falsafah perjuangan utamanya beracuankan Melayu Islam.

Ahli Parlimen Machang berkata, Bersatu perlu menjuarai isu rakyat tanpa mengira latar pengundi sebagai strategi menawan Putrajaya.

Wan Fayhsal turut menyeru penggantinya sebagai ketua Pemuda Bersatu bersikap lantang seperti Akmal dan dirinya dalam membangkitkan isu nasional untuk menarik golongan muda Melayu.

Akmal baru-baru ini bertelagah dengan pemimpin DAP seperti Teresa Kok dan Lim Guan Eng mengenai pelbagai isu. Penganalisis berpendapat kelantangan Akmal dan ketidakupayaan Umno untuk mengawal tindakannya menjejaskan sokongan bukan Melayu kepada kerajaan perpaduan.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, Bersatu kelihatan sudah hilang arah politik, sementara pemimpinnya termasuk Wan Fayhsal sedang mencari jalan untuk menyegarkan semula parti itu.

Oh Ei Sun
Oh Ei Sun.

“Oleh itu, kadang-kadang wujud kenyataan yang bercanggah,” katanya.

Oh berkata, harapan Bersatu untuk menarik pengundi bukan Melayu akan kekal sebagai impian jika parti itu terus bekerjasama dengan PAS, sekutunya yang penting dalam gabungan Perikatan Nasional.

“Bersatu boleh mempunyai pemimpin seperti Akmal, dan kita akan lihat sama ada ia dapat menarik lebih banyak undi daripada Umno.

“Tetapi selagi Bersatu terus bersekutu rapat dengan PAS, ia boleh melupakan undi bukan Melayu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.