Kecualikan kediaman jika perkenal cukai warisan, Rehda beritahu kerajaan

Kecualikan kediaman jika perkenal cukai warisan, Rehda beritahu kerajaan

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia berkata pengecualian itu akan membantu rakyat memiliki rumah.

rumah houses
Pengenalan cukai warisan hanya menghalang rakyat biasa daripada membeli rumah sebagai satu bentuk pelaburan, kata Rehda.
PETALING JAYA:
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menggesa kerajaan supaya mengecualikan hartanah kediaman daripada cukai warisan sekiranya ia diperkenalkan pada masa hadapan.

Presiden Rehda, Ho Hon Sang, berkata pengecualian sedemikian akan membantu rakyat memiliki rumah daripada terus mengehadkan pilihan mereka.

Sebelum ini, cukai warisan dipercayai menjadi salah satu daripada lima cukai baharu yang dicadangkan untuk Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Okt ini. Cukai ini akan dikenakan ke atas aset atau kekayaan yang diwarisi oleh waris selepas kematian seseorang.

Namun, pada hujung minggu lalu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook menolak dakwaan bahawa kerajaan bercadang untuk memperkenalkan cukai warisan, dan berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam Jemaah Menteri.

Dalam satu kenyataan, Ho berkata cukai tersebut boleh menyebabkan mereka yang mewarisi hartanah terpaksa menjual rumah pusaka kerana tidak mampu membayar cukai yang dikenakan, seterusnya kehilangan rumah serta pelaburan yang dimulakan oleh ahli keluarga mereka yang meninggal dunia.

Katanya, memperkenalkan semula cukai ini, yang dimansuhkan lebih tiga dekad lalu, hanya akan menghalang rakyat biasa daripada membeli rumah sebagai pelaburan.

Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) turut menyuarakan bantahan terhadap cukai ini, dengan menyatakan bahawa ia tidak adil kepada pemilik hartanah, terutamanya mereka yang melabur dalam hartanah untuk generasi akan datang.

Setiausaha agung kehormat HBA, Chang Kim Loong, berkata cukai ini mungkin menggalakkan orang ramai untuk berbelanja daripada menyimpan, kerana ia seolah-olah menghukum mereka yang berjaya.

Beliau berkata hartanah membentuk komponen terbesar kekayaan atau harta bagi kebanyakan orang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.