
Ketua Pemuda Bersatu berkata, beliau hanya setuju berdebat dengan timbalan presiden PKR itu jika diadakan di platform neutral seperti anjuran sebuah syarikat akhbar.
“Saya tak nak pergi ke podcast ‘terbakar’ beliau itu. Sediakan platform neutral (seperti Sinar Harian) cukup. Biar saya ‘bergomol’ dengan Rafizi dalam hal ini,” katanya merujuk podcast ‘Yang Bakar Menteri’ kendalian Rafizi pada sidang media di Parlimen.
Semalam, Rafizi membidas cabaran Wan Fayhsal yang mempelawanya berdebat di siaran televisyen arus perdana.
Mempertahankan tindakannya berdebat di platform podcast, Rafizi menjelaskan kadar bayaran siaran TV sangat mahal.
Kelmarin, Wan Fayhsal berkata beliau mahu berdebat dengan Rafizi di platform TV arus perdana seperti dilakukan Ahli Parlimen Bachok Mohd Syahir Che Sulaiman.
Sementara itu, Wan Fayhsal memaklumkan sedia berdebat dengan Rafizi dalam isu seperti cetak wang atau BlackRock dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).