Belanjawan 2025: Kerajaan diseru beri peruntukan lebih untuk OKU

Belanjawan 2025: Kerajaan diseru beri peruntukan lebih untuk OKU

Angkatan Belia Islam Malaysia berkata langkah itu selaras agenda Madani yang menekankan aspek kesejahteraan rakyat, keadilan sosial dan pemerkasaan semua golongan.

Angkatan Belia Islam Malaysia seru kerajaan mempertimbangkan pertambahan peruntukan bagi program dan inisiatif yang menyokong pemerkasaan OKU sejajar misi Madani.
KUALA LUMPUR:
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berharap kerajaan memberikan perhatian lebih mendalam kepada golongan orang kurang upaya (OKU) dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Presidennya Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, berkata langkah itu selaras agenda Madani yang menekankan aspek kesejahteraan rakyat, keadilan sosial dan pemerkasaan semua golongan, termasuk OKU, dalam pembinaan peradaban bangsa Malaysia.

Justeru, beliau menyeru kerajaan mempertimbangkan pertambahan peruntukan bagi program dan inisiatif yang menyokong pemerkasaan OKU sejajar misi Madani untuk membangunkan Malaysia menjadi negara makmur dan maju secara inklusif.

“Keduanya, menggalakkan pembangunan infrastruktur yang mesra OKU, memastikan akses yang sama kepada semua kemudahan awam, yang selaras dengan prinsip kesaksamaan kepada semua rakyat Malaysia.

“Selain itu, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk OKU melalui insentif dan sokongan kepada majikan sebagai usaha untuk membina masyarakat yang lebih produktif dan adil dan melaksanakan kempen kesedaran tentang hak dan potensi OKU,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pelaksanaan cadangan itu mampu memenuhi tuntutan agenda Madani yang mengutamakan kesejahteraan dan hak asasi setiap individu, termasuk golongan OKU seterusnya membudayakan nilai ihsan selain membina masa depan negara lebih inklusif dan adil.

Sementara itu, sempena sambutan Hari Tongkat Putih Sedunia pada setiap 15 Okt yang didedikasikan kepada golongan kurang upaya penglihatan, Abim turut menyeru semua pihak mewujudkan rasa empati dan prihatin terhadap golongan rentan OKU.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.