Abang sulung lelaki serang balai Ulu Tiram didakwa beri sokongan, miliki bahan Daesh

Abang sulung lelaki serang balai Ulu Tiram didakwa beri sokongan, miliki bahan Daesh

Radin Romyullah Radin Imran didakwa berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas, Abu Bakar al-Baghdadi pada 2014.

Radin Romyullah Radin Imran, 34, juga didakwa memiliki bahan berkait kumpulan pengganas Daesh. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Abang sulung lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram sehingga mengakibatkan kematian dua anggota polis dan seorang lagi cedera, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh.

Radin Romyullah Radin Imran, 34, seorang penghantar makanan membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula di hadapan Hakim K Muniandy, yang kemudiannya menetapkan 15 Nov untuk pengurusan kes.

Dalam pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa telah memberi sokongan dengan cara berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas iaitu Abu Bakar al-Baghdadi di sebuah rumah di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru, Johor pada penghujung 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 40 tahun atau denda, dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Radin Romyullah juga didakwa memiliki satu ‘external hard disc’ yang mengandungi bahan-bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh dan perlakuan perbuatan kumpulan itu di lokasi sama pada 10.45 pagi, 17 Mei dan 2.30 petang, 19 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah juga dilucuthakkan mana-mana bahan tersebut, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan, berkata Radin Romyullah akan dibicarakan bersama tertuduh lain yang sebelum ini dituduh atas kesalahan sama di Mahkamah Tinggi di hadapan hakim berbeza.

“Pihak pendakwaan berhasrat untuk menjalankan perbicaraan bersama dan permohonan rasmi akan dibuat,” katanya.

Peguam Arief Firdaus Ashikin yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan itu.

Pada 30 Sept, ibu tertuduh Rosna Jantan, 59, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan.

Dalam serangan di balai polis itu 17 Mei, Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban, manakala Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak selepas diserang seorang lelaki yang akhirnya ditembak mati dalam insiden tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.