
Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata mangsa membuat laporan seorang suspek yang juga warga China memperdayanya dengan meyakinkannya boleh menggunakan ‘Approved Permit’ (AP) milik syarikat eksport buah-buahan beralamat di Malaysia.
Menurutnya, suspek mendakwa AP syarikat terbabit perlu digunakan bagi mengeksport Musang King sejuk beku dari Malaysia ke China.
Beliau berkata, mangsa kemudian menemui suspek di China, sebelum bersetuju membeli 3,840 karton Musang King sejuk beku dengan nilai bersamaan RM2.6 juta.
“Pada 5 Julai lalu, transaksi pemindahan wang dilakukan ke satu akaun bank milik syarikat lain berdaftar di Malaysia seperti diarahkan suspek,” katanya menurut Harian Metro.
Kumar berkata, mangsa dijanjikan akan menerima Musang King sejuk beku itu dalam tempoh sebulan selepas pembayaran, tetapi sehingga kini syarikatnya belum menerima produk berkenaan.
Katanya, mangsa yang gagal menghubungi suspek meminta rakannya di Malaysia mencari syarikat memiliki AP itu, sebelum disahkan ia tidak pernah berurus niaga dengan syarikat mangsa.
“Mangsa kemudian datang ke Malaysia membuat laporan polis memandangkan akaun bank digunakan suspek milik syarikat berdaftar di negara ini,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420/411 Kanun Keseksaan.