
Salim Bashir berkata, Australia mempunyai dasar yang tidak akan mengekstradisi mana-mana warga asing yang berdepan hukuman mati di negara asal mereka, selaras dengan kewajipan hak asasi manusia antarabangsa.
“Prospek permohonan Malaysia untuk mengekstradisi Sirul adalah terlalu jauh,” katanya kepada FMT.
Beliau menegaskan bahawa hukuman mati masih menjadi sebahagian daripada undang-undang Malaysia walaupun hakim kini mempunyai budi bicara untuk menukar hukuman tersebut kepada penjara seumur hidup.
Sejak tahun lalu, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun bagi kesalahan membunuh, manakala lelaki di bawah umur 50 tahun boleh dihukum dengan minimum 12 sebatan rotan.
Salim mengulas desakan keluarga Altantuya yang meminta peguam negara memberikan perkembangan terkini mengenai langkah yang akan diambil dalam usaha mengekstradisi Sirul, yang kini berusia 53 tahun.
Ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Khamis lalu yang menukar hukuman mati terhadap Azilah Hadri, pegawai polis lain yang disabitkan bersama Sirul, kepada hukuman penjara 40 tahun, dengan 12 sebatan rotan.
Sangeet Kaur Deo, peguam yang mewakili keluarga Altantuya, berkata Peguam Negara tidak mempunyai alasan untuk melengahkan lagi proses tersebut.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain sebelum ini menyatakan bahawa proses ekstradisi mungkin sukar kerana hukuman mati masih wujud di Malaysia.
Seorang lagi peguam, Rafique Rashid Ali, berkata Sirul boleh memohon lanjutan masa. “Dia perlu melepasi halangan itu sebelum permohonan substantif (untuk menukar hukuman) boleh didengar,” katanya.
Rafique berkata, Sirul perlu hadir di mahkamah semasa permohonan lanjutan masa didengar, kerana ini adalah prosiding jenayah.
Bagaimanapun, sebaik tiba, Sirul akan ditahan dan dipenjarakan sebelum dibawa ke mahkamah kerana dia telah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati atas pembunuhan tersebut.
Rafique juga meragui Sirul akan kembali ke Malaysia untuk menjalani hukuman penjara. “Australia adalah tempat perlindungan yang selamat untuknya,” katanya.
Altantuya, 28, dibunuh pada 18 Okt 2006. Mayatnya kemudian diletupkan menggunakan bahan letupan C4 di hutan di Puncak Alam, pinggir Shah Alam, Selangor.
Azilah dan Sirul disabitkan atas pembunuhan itu pada 2009. Sabitan mereka dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013, tetapi dikembalikan oleh Mahkamah Persekutuan. Kedua-duanya dijatuhi hukuman mati.
Sirul melarikan diri ke Australia sebelum keputusan Mahkamah Persekutuan dan sehingga kini masih berada di negara itu.