Tak adil terus kait saya dengan Farhash, kata Anwar

Tak adil terus kait saya dengan Farhash, kata Anwar

Perdana menteri berkata kontrak diluluskan kerajaan terdahulu bukan pentadbirannya.

Anwar Ibrahim berkata jika berlaku perlanggaran dalam kes pembelian saham oleh individu termasuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak beliau pasti SPRM akan melakukan siasatan.
KUALA LUMPUR:
Anwar Ibrahim berkata tidak adil untuk terus mengaitkan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dengannya hanya kerana pernah menjadi setiausaha politiknya sebelum ini.

Perdana menteri menegaskan perkara itu susulan dakwaan media antarabangsa, Bloomberg berhubung wujud campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk melibatkan Farhash berkait isu pembelian saham.

“Untuk terus kaitkan kerana pernah jadi staf saya kurang adil. Kebetulan dia…empat, lima tahun lalu staf saya, maka itu dibangkitkan.

“Saya percaya (Ahli Parlimen) Pasir Mas (Ahmad Fadhli Shaari) tahu yang dikaitkan itu satu syarikat melibatkan sultan, tidak libatkan Farhash,” katanya merujuk kepada HeiTech Padu Bhd, syarikat dimiliki bersama Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat menjawab pertanyaan Fadhli yang meminta polis mendedahkan siasatan ke atas Farhash.

Anwar menjelaskan, kontrak syarikat terbabit diluluskan kerajaan terdahulu bukan pentadbirannya.

Sebelum ini, Bloomberg dalam satu laporan memetik sumber mendakwa Anwar mengarahkan SPRM menyiasat Dr Mahathir Mohamad, anak-anaknya, dan rakan rapatnya Daim Zainuddin.

Anwar juga didakwa mengarahkan SPRM tidak menyiasat pembelian saham oleh Farhash, bagaimanapun perkara itu dinafikan Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan SPRM.

Sementara itu, Anwar berkata jika berlaku perlanggaran dalam kes pembelian saham oleh individu termasuk Farhash, beliau pasti SPRM akan melakukan siasatan.

“Andai kata ada maklumat jelas melibatkan sesiapa pun termasuk Farhash dalam kes mana-mana sila lapor. Saya pastikan SPRM tidak akan menutup (kes itu),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.