
Bercakap kepada FMT, Ketua Penerangan Sanjeevan Ramakrishnan yang menang naib ketua menewaskan ahli Bersekutu Bersatu Tanjong Cheah Kim Huat berkata sayap itu akan memberi tumpuan di Negeri Sembilan, Johor, Selangor, dan Pulau Pinang.
“PRU akan datang kita sasar menang beberapa kerusi sama ada DUN dan Parlimen, bukannya hanya dapat ‘telur’ lagi. Itu iltizam kami,” katanya.
Pada pemilihan 12 Okt lalu, Ketua Bersekutu Bersatu Chong Fat Full turut mempertahankan jawatannya sepenggal lagi, dan mengumumkan barisan 15 ahli jawatankuasa baharunya.
Mengulas lanjut, Sanjeevan berkata Bersekutu yang mempunyai 26 bahagian di seluruh negara akan mencari jalan mengubah persepsi bukan Melayu, bahawa Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) turut membela kebajikan semua kaum.
“Bersatu dan PN perlu menjadi juara memperjuangkan masalah bukan Melayu, baru kepercayaan dalam kalangan bukan Melayu meningkat. Kita lihat usaha itu perlu digandakan lagi.”
Menurut beliau, sayap itu mahu menjadi pendesak kerajaan untuk menyelesaikan segera isu berbangkit melibatkan bukan Melayu, dengan mencadangkan beberapa penyelesaian.
“Supaya rakyat melihat walaupun kita sebagai pembangkang, kita mampu memberi idea untuk kerajaan membela nasib bukan Melayu,” katanya.
Sanjeevan berkata, jurang antara pemimpin politik dan rakyat perlu diketepikan, selain penerangan di akar umbi perlu dibuat secara agresif.
“Tak boleh lagi ada jurang pemimpin politik dengan rakyat, bila kita dekat dengan rakyat, rakyat boleh memahami kita,” katanya yang berpendapat usaha itu boleh dibuat melalui kerjasama dengan NGO bukan Melayu.
Sayap Bersekutu Bersatu ditubuhkan secara rasmi pada 2021 dan terdiri ahli bukan Bumiputera.