
Kenyataan itu menyusul selepas Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin semalam mempelawa Na’im berdialog berhubung RUU berkenaan, yang menurutnya membolehkan rakyat menilai kemampuan menteri tersebut.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menafikan kenyataan sesetengah pihak yang mendakwa bahawa RUU Mufti ini digubal secara tergesa-gesa dan dipengaruhi oleh pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan.
“Penggubalan RUU Mufti ini adalah usaha yang diambil oleh kerajaan bertujuan memartabat dan memperkasakan institusi mufti di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
“Menerusi pemerkasaan ini, bidang kefatwaan dan pembangunan hukum syarak akan dapat ditadbir secara teratur, telus serta berwibawa ke arah meningkatkan keberkesanan tadbir urus pentadbiran Islam di Malaysia.”
Jelas Na’im, Jawatankuasa Penggubalan RUU Mufti (Wilayah- Wilayah Persekutuan) ditubuhkan pada 2021 bertujuan mengkaji dan menggubal suatu akta khusus untuk mufti.
Katanya, jawatankuasa penggubalan itu dianggotai wakil Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jakim, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Selangor.
“Sehubungan itu, semua pihak dinasihatkan berhati-hati mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan polemik terhadap usaha untuk memartabat dan memperkasakan institusi mufti di Wilayah Persekutuan,” katanya.
Sebelum ini, Na’im dilaporkan berkata RUU itu akan dibentangkan untuk bacaan kedua dan ketiga dalam sidang Parlimen yang bermula semalam selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.
RUU itu dikatakan digubal bagi memperkukuhkan institusi kefatwaan di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan, selain hanya terhad untuk orang Islam sahaja.
Na’im turut menjelaskan penggubalan RUU itu sebahagian usaha kerajaan memartabatkan sistem perundangan dan kehakiman bagi undang-undang diri orang Islam, seterusnya menjamin hak-hak keadilan kepada umat Islam.
Baru-baru ini, sekumpulan 14 NGO dari Sabah dan Sarawak menyuarakan bantahan terhadap RUU itu dengan mendakwa ia melanggar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan merupakan serangan langsung terhadap sistem sekular.