
Bantuan tunai itu disalurkan kepada 151,000 warga emas dan 29,000 pesakit terlantar dari Januari hingga Ogos lalu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukry dalam jawapan bertulis kepada Wong Shu Qi (PH-Kluang) semalam.
Beliau berkata, seramai 2,300 sukarelawan membantu lebih 6,000 warga emas yang hidup bersendirian melalui Program Khidmat Bantu di Rumah, seperti mengemas rumah, membeli barang keperluan asas dan menemani warga emas untuk janji temu di hospital.
“Bagi warga emas yang tiada waris dan tidak mampu menjaga diri pula, Rumah Seri Kenangan di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat memberikan perkhidmatan psikososial seperti jagaan, perlindungan, kerohanian, bimbingan dan kaunseling, rekreasi, rawatan perubatan, terapi cara kerja, fisioterapi dan perkhidmatan bersesuaian demi kesejahteraan mereka.”
Kadar perceraian tinggi
Nancy turut mendedahkan kadar perceraian tinggi dalam kalangan lelaki berumur 35 hingga 39 tahun dan wanita berumur 30 hingga 34 tahun, dengan kebanyakan perceraian berlaku sebelum 10 tahun perkahwinan.
Justeru, menurutnya, kerajaan memperkenalkan kursus praperkahwinan, perkhidmatan perancangan keluarga dan program “2nd Honeymoon” untuk menangani masalah perceraian.
Beliau berkata, purata rakyat Malaysia berkahwin pada usia 27 dan 28 tahun.
Jawapan bertulis lain di Dewan Rakyat semalam menyentuh sektor pelancongan dan perdagangan.
16.4 juta ketibaan pelancong
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing, berkata lebih 16.4 juta pelancong asing tiba di Malaysia antara Januari hingga Ogos lalu, meningkat 29.5% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pelancong dari Singapura paling ramai, diikuti Indonesia dan China.
Perdagangan Malaysia-EU
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz, berkata Jemaah Menteri akan memutuskan sama ada meneruskan perbincangan mengenai perjanjian perdagangan bebas dengan Kesatuan Eropah (EU), yang digantung sejak 2012.
Beliau berkata, Memorandum Jemaah Menteri pada Ogos lalu membangkitkan kemungkinan menyambung semula rundingan itu. Isu yang masih mempunyai perbezaan pendirian ketara kekal, tetapi kemajuan besar telah dicapai, katanya dalam jawapan kepada William Leong (PH-Selayang).
Menurutnya, rundingan akan mematuhi prinsip utama di mana Malaysia mendapat “faedah secara menyeluruh” daripada perjanjian itu dan selagi tiada persetujuan sepenuhnya dicapai bersama, perjanjian berkenaan tidak akan dimuktamadkan.