
Sebuah ruang kemas, bersih dan terhias mampu memulihkan semangat selepas seharian penat bekerja atau ke sekolah.
Itu dinikmati penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 yang berganding tenaga mencantikkan lobi lif mereka sehingga tular dan mengagumkan ramai orang.

Ketika mengunjungi PPR itu baru-baru ini, FMT Lifestyle disambut dengan lobi lif dihias cantik dengan rona biru ‘teal’ dan kelabu di aras 13, blok A. Hiasan bingkai berwarna emas dan cermin di dinding turut menambah tarikan ruang itu.
“Kami pilih konsep lobi hotel supaya penduduk berasa tenang apabila balik ke rumah, terutamanya selepas seharian bekerja,” kata Siti Norzanizan Mohamed, 46, yang telah menetap di situ selama 18 tahun.
Menurutnya, ada lapan blok di PPR itu, dan setiap aras diperuntukkan RM500 untuk dihias, kecuali kawasan lebih besar di aras bawah diperuntukkan RM3,000.
Inisiatif bawah program “Kita-Untuk-Kita” oleh Think City, sebuah organisasi bermatlamat menjadikan bandar lebih mampan dan selesa didiami, turut disokong Kementerian Kewangan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Bagi menambah kemeriahan inisiatif itu, pertandingan diperkenalkan di kalangan setiap aras serta lapan blok itu, dengan pemenang dipilih berdasarkan kebersihan dan kreativiti.

Menerusi inisiatif itu, penduduk di setiap aras dapat mempamerkan bakat seni dan usaha keras mereka. Contohnya, aras 15 menggunakan warna hijau yang menenangkan, dilengkapi dengan tumbuhan tiruan, bagi mencipta suasana damai.
Penduduk aras 8 pula mempamerkan semangat patriotisme tinggi dengan menghias dinding menggunakan Jalur Gemilang dan bendera negeri. Ada juga lukisan indah memaparkan struktur seni bina ikonik di Malaysia seperti Tugu Negara, A Famosa dan Menara Berkembar Petronas.
Bagaimanapun, menurut Siti, kemenangan bukanlah segalanya.
“Saya dorong penduduk untuk tidak utamakan kemenangan, sebaliknya buat sebaik mungkin supaya kita semua boleh hidup selesa.”
Selain menggembleng tenaga, penduduk turut mengumpul wang sesama mereka untuk mencantikkan keseluruhan aras itu, mengecat koridor dan memasang kamera litar tertutup (CCTV) baharu menggantikan yang rosak.

“Semua orang main peranan. Ada yang kumpul duit, selebihnya beli barang dan cat dinding. Kami semua teruja,” katanya menambah, mereka kini sedang berusaha mencantikkan kawasan tangga.
Usaha ini bukan sahaja dapat mencantikkan aras didiami mereka, malah penduduk turut mendapat manfaat lain.
“Anak-anak kami sekarang suka bermain di sini,” kata Siti.
Norazila Mohd Hilali, 42, yang menetap di situ selama 21 tahun menambah: “Ada juga anak-anak nasihat yang lain supaya jaga kebersihan di kawasan telah kami cantikkan ini.”
Penduduk dewasa pun banyak meluangkan masa berkumpul di lobi lif yang kini terhias itu.
“Saya lebih banyak kenal penduduk lain menerusi inisiatif ini, senang hati rasanya,” kata Norazila.
Usaha mereka menjadi tular baru-baru ini dan Norazila terkejut menerima pujian daripada adik-beradiknya.
“Berbaloi rasanya kerja keras kami,” katanya tersenyum.
Siti juga menerima komen menggalakkan menerusi akaun TikToknya, dengan ada yang berpendapat, inisiatif ini perlu diperkenalkan di PPR lain, sentimen yang dipersetujuinya.
“Kami dapat rasa manfaat daripada usaha ini, terutamanya untuk pupuk hubungan yang lebih erat antara satu sama lain,” katanya.