
Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng sebelum ini mendakwa wang itu sebahagian daripada peruntukan RM5.6 juta untuk menaik taraf jalan persekutuan, telah disalurkan ke Tasek Gelugor.
Zairil yang memegang jawatankuasa infrastruktur negeri, berkata peruntukan RM5.6 juta itu bertujuan menaik taraf jalan utama.
Beliau turut mendedahkan RM4.2 juta dibelanjakan di Bagan, manakala bakinya dibelanjakan untuk Tasek Gelugor, yang kesemuanya katanya dibelanjakan di jalan yang sama.
Katanya, naik taraf itu adalah dari Jalan Chain Ferry ke Jalan Bagan Ajam dan seterusnya ke Jalan Teluk Ayer Tawar, dengan sebahagian daripada dua jalan terakhir di Tasek Gelugor.
Tambahnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) memutuskan untuk menaik taraf keseluruhan kawasan itu untuk manfaat pengguna.
“Saya pasti semua pengguna jalan raya Bagan menggunakan bahagian jalan ini juga, yang kebetulan berada di Tasek Gelugor.
“Namun, memandangkan Ahli Parlimen Bagan rasa tertipu, saya minta JKR dapatkan tambahan RM1.4 juta untuk Bagan,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata JKR tidak berniat jahat apabila memutuskan untuk menaik taraf jalan, sebahagian daripadanya kebetulan berada di Tasek Gelugor kerana jabatan itu mahu memastikan keselesaan berterusan kepada pengguna.
Katanya, tidak wajar membuat tuduhan sedemikian sedangkan mereka hanya menjalankan tugas.
Lim baru-baru ini mendakwa peruntukan RM1.4 juta yang ‘dirampas’ oleh Tasek Gelugor adalah kali kedua kejadian seumpama itu berlaku.
Beliau berkata tahun lepas hampir separuh daripada RM1.1 juta bantuan peruntukan pembaikan jalan yang diperuntukkan perdana menteri diberikan kepada Tasek Gelugor.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dari Perikatan Nasional (PN) melahirkan rasa terkejut dengan dakwaan Lim, dengan bertanya sama ada kawasan yang dikuasai pembangkang perlu diketepikan daripada pembangunan.