
Penganalisis ekonomi, Geoffrey Williams, berkata jika GST dilaksanakan sekarang ia berpotensi menambah beban kepada golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata, secara amnya GST adalah sistem cukai yang regresif di mana beban cukai lebih banyak ditanggung golongan miskin.

“Pelaksanaan semula GST akan menyebabkan gangguan besar kepada perniagaan serta kos tambahan yang akhirnya akan dipindahkan kepada pelanggan,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Anwar berkata GST adalah sistem cukai paling telus, cekap dan mampu menyumbang kepada pendapatan negara, namun memerlukan masa untuk dilaksanakan semula selain perlu mengambil kira nilai ambang pendapatan rakyat.
“Namun, berikan kita masa untuk meningkatkan ekonomi terlebih dahulu dan nilai ambang pendapatan kepada RM3,000 atau RM4,000 minimum,” katanya.
Pada 8 Ogos 2018, Dewan Rakyat meluluskan dua rang undang-undang (RUU) membabitkan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 dan RUU Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018.
GST mula dilaksanakan pada 1 April 2015 dengan kadar 6% ketika Najib Razak perdana menteri, namun dimansuhkan selepas Pakatan Harapan (PH) menang PRU14 pada 2018.
Williams berkata, perniagaan mungkin menyokong GST kerana mereka tidak perlu menanggung kos cukai itu sebaliknya boleh menuntut balik.
Namun, katanya pengalaman sebelum ini menunjukkan kelewatan dalam pembayaran balik GST kepada syarikat menyebabkan gangguan besar kepada aliran tunai terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Jika GST diperkenalkan semula, rakyat akan menghadapi peningkatan beban cukai sebanyak RM700 setiap individu, sekali gus membuktikan GST tidak memberi keuntungan kepada rakyat biasa.
“GST mengambil 56% lebih banyak wang daripada orang biasa berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST), ia bukanlah wang percuma,” katanya.

Sementara itu, Abu Sofian Yaacob dari Universiti Malaysia Kelantan, berkata jika kerajaan ingin melaksanakan semula GST ia perlu dimulakan dengan kadar rendah antara 2% hingga 3% dan boleh dinaikkan secara beransur-ansur selepas tiga hingga lima tahun.
“Ia tidak membebankan peniaga kerana hanya pengguna akhir menanggung keseluruhan cukai di setiap peringkat transaksi. Tetapi jangan buat kesilapan lalu yang kenakan 6%,” katanya.