
Ketua Penerangan Pemuda PAS Nadzir Helmi menegaskan pihaknya tidak campur tangan urusan dalaman parti rakannya dalam Perikatan Nasional (PN).
Sehubungan itu,, beliau mengingatkan semua pihak tidak menjadikan PAS sebagai bahan kempen bagi mewujudkan polemik tidak perlu.
“PAS boleh bekerjasama dengan semua pihak asalkan mana-mana rakan sayap parti boleh membawa aspirasi kebersamaan dalam mewujudkan suasana politik matang, prihatin, bersih dan prihatin.

“Pemuda PAS tidak terlibat dalam mana-mana kempen khususnya sedang berjalan dengan rakan-rakan parti komponen kerana setiap parti lebih mengetahui bagaimana perjalanan pentadbiran mereka,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, FMT memetik sumber melaporkan kerjasama dan hubungan dengan Pemuda PAS menjadi pertimbangan utama perwakilan Bersatu memilih ketua baharu sayap itu.
Pemimpin sayap yang enggan dikenali itu berkata majoriti ahli mahu keberkesanan kerjasama dengan PAS pada PRU15 dan PRN di enam negeri diteruskan untuk menghadapi PRU16.
Namun sumber itu mendakwa wujud kebimbangan hubungan mesra antara jentera Pemuda PAS dan Bersatu akan retak jika Adun Gombak Setia Hilman Idham yang didakwa berada dalam kem Ketua Bersatu Selangor Azmin Ali menang pada pemilihan bulan depan.
Hilman, wakil rakyat dua penggal Gombak Setia ditentang Pengerusi Tetap Pemuda Akmal Zahin Zainal Zahir pada pemilihan bulan depan.
Salah seorang daripadanya akan menggantikan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang tidak mempertahankan kerusi itu kerana melepasi had usia dan menawarkan diri bertanding kerusi Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).