
Pada persidangan bermula 10 pagi ini, Ahli Parlimen kerajaan diperuntukkan enam soalan berbanding lima ketika sidang terdahulu, manakala pembangkang pula berkurangan kepada empat berbanding lima sebelum ini.
Ketuanya, Mohd Shahar Abdullah berkata langkah itu wajar berdasarkan komposisi di Dewan Rakyat dengan penyokong kerajaan diwakili 93 Ahli Parlimen yang perlu diimbangi sebaiknya melalui ‘perkadaran’ adil kepada semua pihak memandangkan soalan lisan dianggap sesi penting membabitkan kepentingan umum.

“Pada dasarnya, apabila kadar nisbah komposisi itu diambil pertimbangan, ia perkara adil secara logik berdasarkan jumlah keseluruhan Ahli Dewan Rakyat.
“Keputusan dibuat Yang di-Pertua (Johari) adalah seimbang dan baik atas permohonan yang dipohon,” katanya kepada FMT.
Ahli Parlimen Paya Besar itu juga berterima kasih kepada Johari yang meluluskan permohonan mereka berdasarkan komposisi di Dewan Rakyat dan menyifatkannya sebagai langkah reformasi lebih baik.
Sabtu lalu, media melaporkan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa mereka diberitahu senarai soalan lisan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) dikurangkan kepada empat berbanding lima sebelum ini.
Ketua Pemuda PAS itu menyifatkannya cubaan mengehadkan suara pembangkang.
Menerusi semakan aturan mesyuarat majlis di laman sesawang Parlimen, enam wakil kerajaan akan bertanya soalan lisan hari ini, iaitu Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) dan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau).
Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan), P Prabakaran (PH-Batu), Manndzri Nasib (BN-Tenggara) dan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya).
Selain Afnan Hamimi, soalan lisan dari blok pembangkang turut dikemukakan Hamzah Zainudin (PN-Larut), Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) dan Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar).
Sidang kali ini tertumpu kepada pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan pada Jumaat ini, sebelum dibahaskan Ahli Parlimen.
Turut dijadualkan sesi penerangan menteri mengenai isu Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) pada hari kedua persidangan Dewan Rakyat, esok.