
Kanak-kanak terbabit kini bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas diselamatkan polis dari rumah amal dikaitkan dengan GISBH dalam beberapa operasi bulan lalu.
“Kami merayu kerajaan dan pihak berkuasa membenarkan kami terlibat sama dalam menguruskan kebajikan anak-anak ini. Kami akan mematuhi peraturan ditetapkan,” kata peguam GISBH, Rosli Kamaruddin dalam sidang media.
“Terdapat lebih 500 kanak-kanak diuruskan JKM. Bagaimana mampu tangani (uruskan anak-anak). Jadi beri ruang kepada keluarga sendiri untuk ambil bahagian.”
Pada awal September, polis menyerbu rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH dan menyelamatkan lebih 402 kanak-kanak, di mana sebilangan mereka mendakwa diliwat dan diajar untuk meliwat penghuni lain.
Sejak itu lebih 600 kanak-kanak diselamatkan daripada rumah amal GISBH.
Sementara itu, Rosli juga merayu pihak berkuasa untuk tidak menyiasat pegawai GISBH di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Seramai lebih 300 individu yang dikaitkan dengan GISBH termasuk pengurusan tertinggi ditahan dalam beberapa operasi baru-baru ini.
Pada Khamis lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Shuhaily Zain berkata seramai 58 suspek yang dikaitkan dengan GISBH termasuk CEO, ditahan mengikut Sosma untuk membantu siasatan.
“Mereka bukan pengganas. Jika siasatan mengenai amalan agama, biarlah pihak berkuasa agama menyiasat mereka,” kata Rosli.
Rosli juga meminta pihak berkuasa membenarkan usahawan GISBH yang lain meneruskan perniagaan mereka, kerana aktiviti mereka adalah sah.
Syarikat itu dilaporkan memiliki pasar raya, pasar mini, kedai kek, restoran dan perniagaan lain di Malaysia, Asia Barat, Eropah dan China.