Melaka isytihar ajaran GISBH sesat

Melaka isytihar ajaran GISBH sesat

Mufti Melaka Abdul Halim Tawil berkata ajaran dan amalan dalam GISBH ada ciri persamaan ajaran al-Arqam dan Syarikat Rufaqa’ yang diwartakan sesat.

gisb
Mufti Melaka Abdul Halim Tawil berkata pengikut al-Arqam dan Rufaqa’ didapati mendaftar ataupun menjenamakan diri mereka semula sebagai GISBH. (Gambar EPA Images)
MELAKA:
Jawatankuasa Fatwa Melaka yang bermesyuarat pada 3 Okt lepas memfatwakan ajaran dan amalan dalam Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) adalah sesat, kata Mufti Melaka Abdul Halim Tawil.

Beliau berkata ajaran dan amalan dalam GISBH ada ciri persamaan dengan elemen berkaitan ajaran al-Arqam yang difatwakan haram pada 1994 dan Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn Bhd (SRC) (difatwakan haram pada 2007).

“Kita melihat elemen (ajaran al-Arqam) ke atas GISBH ada persamaan ciri-ciri yang dipegang oleh pengikut bekas al-Arqam dan Rufaqa’, mereka mendaftar ataupun menjenamakan (diri) mereka semula sebagai GISBH.

“Kami mengambil ketetapan ada persamaan daripada sudut kepercayaan, amalan dan juga pegangan mereka (ahli GISBH) daripada sudut wirid dan sebagainya, dan kita telah memutuskan iaitu apa yang dibawa oleh kumpulan GISBH ini adalah bertentangan dengan hukum syarak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Seminar Pendidikan Fatwa Kontemporari sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh.

Abdul Halim berkata Melaka turut memfatwakan empat lagi ajaran dan fahaman sebagai haram dan sesat kerana bercanggah dengan hukum syarak dan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di bawah Seksyen 35 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002 pada 12 Sept lalu.

Beliau berkata ia membabitkan ajaran dan fahaman Irwan Alias, ajaran Suhaini Mohammad (Si Hulk), amalan dan kaedah perubatan Adam Isa (Tabib Adam) dan ajaran risalah bab kesucian yang dibawa oleh Wayang Hadi Kesumo (Hadi Minallah).

“Kita memfatwakan (ajaran dan fahaman itu sebagai sesat) berdasarkan kajian dan laporan yang dibentangkan (oleh pasukan penyelidik) selain sesi temu bual (dengan pengamal ajaran), dan daripada laporan-laporan itu kita melihat ada elemen keraguan di dalam perubatan (dan ajaran) tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.