Koperasi ‘godaan baharu’ penjawat awam berhutang

Koperasi ‘godaan baharu’ penjawat awam berhutang

Pensyarah kanan Universiti Tun Hussein Onn, Khadijah Md Ariffin berkata, kebanyakan koperasi tidak mementingkan penilaian skor kredit bakal peminjam sebelum meluluskan permohonan.

Pensyarah kanan Universiti Tun Hussein Onn, Khadijah Md Ariffin berkata pinjaman koperasi lebih popular dalam kalangan penjawat awam kerana kadar faedah dan kriteria pinjamannya lebih kompetitif daripada bank. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Isu penjawat awam muflis bukan perkara baharu, namun masalah itu dilihat semakin membimbangkan sejak beberapa tahun ini.

Menurut Jabatan Insolvensi, kira-kira 10% hingga 13% daripada kes kebankrapan baharu yang didaftarkan dalam tempoh empat tahun lalu membabitkan penjawat awam.

Ketua Pengarahnya, M Bakri Abd Majid dipetik berkata, sesetengah kes membabitkan penjawat awam sendiri memohon diisytiharkan muflis bagi mengurangkan tekanan hutang ditanggung sejak sekian lama.

Pakar melihat isu kebankrapan, khususnya dalam kalangan penjawat awam berpunca daripada keinginan mengikut trend semasa dan bergaya, namun dikekang pendapatan yang seterusnya mendorong mereka berhutang.

Ada juga yang bagaikan berpegang kepada prinsip “biar papa, asal bergaya” membuatkan mereka tidak teragak-agak berhutang demi memenuhi keinginan, yang kemudian dikongsikan di media sosial sebagai lambang status.

Data Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menunjukkan penggunaan kad kredit antara penyumbang utama dalam kebanyakan kes muflis.

Menurut pakar kewangan Islam dan kewangan Islam korporat, Norasikin Salikin, mereka yang mudah terjebak masalah itu ialah orang muda yang baru memasuki alam pekerjaan.

Pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia itu berkata, tambah memburukkan keadaan apabila pekerja muda sering diuar-uarkan kepentingan kemudahan kewangan oleh institusi kewangan.

“Mereka yang baru mengenal atau memiliki kad kredit lazimnya sukar mengawal perbelanjaan dan akhirnya penggunaan (kad kredit) itu akan mencapai had maksimum,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Menurutnya, rentetan hutang kad kredit tidak mampu dilangsaikan, mereka cenderung membuat pinjaman peribadi bagi menyelesaikan bebanan hutang tertunggak itu.

Tambahnya, ada juga penjawat awam membuat pembiayaan bertindih (overlap) bagi menyelesaikan pinjaman peribadi terdahulu.

“Situasi ini berlaku apabila hutang kad kredit telah diselesaikan dengan pinjaman peribadi pertama, namun tanpa sedar mereka masih menggunakan kad kredit untuk berbelanja. Jadi, mereka membuat ‘overlapping’ pinjaman peribadi sebagai langkah melunaskan pinjaman peribadi sebelum ini dan hutang (baharu) kad kredit.

“Kitaran ini akan berlanjutan sehingga mereka tidak mampu lagi melunaskan semua hutang tersebut dan berdepan tindakan kebankrapan.”

‘Godaan baharu’

Norasikin tidak menolak tindakan bank dan institusi kewangan bagai “menyasarkan” penjawat awam menerusi pelbagai tawaran, termasuk kadar faedah bayaran balik rendah, turut berpotensi menjerat golongan itu dalam beban hutang, khususnya hutang tidak perlu.

“Tidak dinafikan institusi kewangan turut menyumbang dalam isu ini. Promosi yang giat dijalankan bank dan koperasi dengan kadar faedah rendah dan syarat mudah secara tidak langsung menarik penjawat awam membuat pinjaman.”

Menurutnya, tambah memudaratkan apabila institusi kewangan tidak mengambil kira komitmen kewangan bakal peminjamnya, jika komitmen itu tidak tercatat dalam penyata gaji.

“Sepatutnya pihak bank atau institusi kewangan membuat semakan komitmen kewangan menyeluruh serta mengetatkan nisbah hutang kepada 40% saja daripada keseluruhan gaji berbanding 60% sekarang.”

Pandangan senada turut disuarakan pensyarah kanan di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn, Khadijah Md Ariffin yang berkongsi kebimbangan tentang kemudahan pinjaman ditawarkan koperasi.

Ini kerana, katanya, institusi itu yang wujud bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan menjadi tumpuan penjawat awam membuat pinjaman.

Beliau berkata, pinjaman koperasi lebih popular dalam kalangan penjawat awam kerana institusi itu menawarkan kadar faedah dan kriteria pinjaman lebih kompetitif berbanding bank.

Selain itu katanya, kebanyakan koperasi tidak mementingkan penilaian skor kredit bakal peminjam sebelum meluluskan permohonan.

“Bank mempunyai penilaian kredit agak ketat berbanding koperasi. Keperluan dokumen sokongan untuk sebarang permohonan pinjaman koperasi juga tidak sebanyak yang diminta pihak bank.

“Ini membuatkan penjawat awam cenderung mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan tersebut. Sekiranya penjawat awam berkeupayaan membuat bayaran balik, mungkin isu kebankrapan tidak berlaku.”

Media sebelum ini melaporkan Presiden Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (Angkasa), Abdul Fattah Abdullah, berkata agensi itu menguruskan bayaran balik RM1.2 bilion sebulan atau RM14.4 bilion setahun membabitkan kira-kira 800,000 penjawat awam yang membuat pinjaman dengan pelbagai institusi kewangan dan koperasi.

Menurutnya, kebanyakan penjawat awam gred 41 ke bawah membuat pinjaman peribadi kerana gaji agak rendah dan jumlah kenaikan tahunan tidak seberapa.

Tiada ilmu kewangan

Khadijah berkata, ketiadaan ilmu menguruskan kewangan turut menjadi punca keberhutangan serius dalam kalangan penjawat awam.

Justeru, katanya, cara paling strategik untuk menangani isu itu ialah memberi pendedahan kepada mereka berhubung pengurusan kewangan bijak.

“Kerajaan boleh mewajibkan semua kakitangan menghadiri sekurang-kurangnya satu kursus pengurusan kewangan setiap tahun bagi mencapai indeks petunjuk prestasi latihan masing-masing.

“Kursus ini boleh merangkumi pelbagai aspek pengurusan kewangan termasuk belanjawan, aliran tunai, strategi pembayaran hutang serta pengurusan simpanan dan pelaburan.”

Beliau berkata, kerajaan juga boleh memanfaatkan fungsi AKPK dengan mengadakan libat urus bersama penjawat awam dari semasa ke semasa, memandangkan ramai penjawat awam mempunyai masalah kewangan, namun tidak tahu atau malu mendapatkan nasihat agensi itu.

Beliau turut mengesyorkan penjawat awam yang dikenal pasti mempunyai hutang melebihi kadar ditetapkan diwajibkan menghadiri kursus kewangan bagi mengelakkan mereka diisytiharkan muflis.

“Kerajaan juga boleh menyediakan platform untuk memberi sokongan emosi kepada mereka yang tertekan akibat masalah kewangan. Gangguan kesihatan mental ini memberi impak kepada prestasi kerja penjawat awam yang akhirnya merugikan kerajaan sendiri.”

Kos sara hidup

Menyifatkan kegagalan pengurusan hutang dalam kalangan penjawat awam sebagai isu kompleks kerana ada masanya mereka terjerat dengan hutang tidak perlu, Khadijah berkata, ada di antara mereka dicap kelompok “tutup hutang lama buat hutang baharu” atas pelbagai alasan, termasuk kenaikan kos sara hidup.

Malah katanya, kebanyakan kes terperangkap dalam keberhutangan tinggi disebabkan kegagalan menganalisis tahap “kesihatan kewangan” masing-masing, antaranya tidak mengambil kira komitmen kewangan dalam jangka panjang serta situasi ekonomi semasa negara dan dunia.

“Faktor kritikal ialah mereka tidak mengukur baju di badan sendiri. Kehendak yang kadangkala disalah tafsir menjadi keperluan juga membuatkan penjawat awam terjerat dengan hutang tidak perlu.”

Seorang penjawat awam hanya mahu dikenali Anis, 32, mengakui kadar gaji rendah antara faktor dia dan rakan sekerjanya membuat pinjaman.

Kongsinya, bermula dengan pinjaman peribadi dalam jumlah kecil, dia seterusnya terperangkap hutang mencecah puluhan ribu ringgit apabila membuat pinjaman seterusnya.

Keadaan itu membuatkan dia serik kerana mendapati amat sukar melunaskan pinjaman berkenaan.

“Bila gaji kecil susah nak beli apa-apa. Bila buat pinjaman dapatlah duit dalam jumlah besar, tetapi itulah…duit itu sekejap saja habis, sedangkan nak bayar (balik) hutang bertahun-tahun lamanya.

“Banyak juga tengok rakan-rakan naik gaji sedikit saja terus buat hutang, mungkin (mereka) dah terbiasa berhutang. Bagi saya perlu elakkan berhutang…biarlah hidup biasa-biasa saja, janji tidak sakit kepala (nak bayar hutang).”

Isu keberhutangan serius tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan penjawat awam kerana hal itu merupakan pelanggaran Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.