Indonesia tahan 2 kapal korek pasir bawa bendera Malaysia

Indonesia tahan 2 kapal korek pasir bawa bendera Malaysia

Dua kapal itu bersama anak kapalnya terdiri daripada dua warga Indonesia dan 24 warga China ditahan di Batam.

Pihak berkuasa Indonesia berkata, dua kapal itu dipercayai mengorek pasir untuk tujuan penambakan di Singapura. (Gambar PSDKP)
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa Indonesia menahan dua kapal pengorek pasir yang membawa bendera Malaysia kerana mengorek pasir secara haram dekat Pulau Nipah, Batam.

CNN Indonesia melaporkan anak kapal yang terdiri daripada dua warga Indonesia dan 24 warga China itu turut ditahan.

Dua kapal itu dipintas pada 9 Okt lalu. Majalah mingguan Indonesia, Tempo melaporkan MV Yang Cheng 6 dan MV Zhou Shu 9 membawa bendera Malaysia, Singapura serta Sierra Leone.

Pihak berkuasa Indonesia turut mendapati kedua-dua kapal itu mengorek pasir tanpa dokumen sewajarnya, yang didakwa untuk tujuan penambakan di Singapura. Dua kapal itu didakwa mengorek pasir secara haram sebanyak 10 kali dalam tempoh sebulan.

Pegawai sumber marin, Pung Nugroho Saksono berkata kapal itu boleh mengorek 10,000 tan padu pasir laut dalam operasi selama sembilan jam.

“Jika mereka bekerja selama setahun, mereka boleh mengorek 1.2 juta tan padu pasir yang mengakibatkan kerugian berjumlah 223 bilion rupiah (kira-kira RM62 juta),” katanya yang dipetik laporan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.