
Dua individu itu difahamkan ditahan Khamis lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata seorang daripadanya direman lima hari hingga Selasa ini dan seorang lagi dibebaskan atas perintah mahkamah kerana masalah kesihatan.
Beliau berkata, siasatan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 masih di peringkat awal.
“SPRM turut menyita kira-kira 15 akaun bank milik individu dan syarikat untuk siasatan lanjut,” katanya menurut Sinar Harian.
Terdahulu, sumber berkata, seorang ahli perniagaan dan bekas eksekutif kanan MBI ditahan kerana didakwa ada kaitan dengan seorang pemimpin pembangkang terkenal yang pernah mempunyai pengaruh politik di Selangor.
“Bekas eksekutif itu disyaki menerima rasuah jutaan ringgit daripada syarikat yang memperoleh konsesi perlombongan pasir beberapa tahun lalu,” katanya sambil menambah ahli perniagaan itu didakwa menjadi orang tengah mengutip suapan bagi pihak suspek pertama.
Menurut sumber, SPRM turut menahan dua individu dikaitkan dengan syarikat perlombongan pasir, tetapi mereka dibebaskan selepas disoal siasat.
“Skandal itu didakwa bermula apabila syarikat berkenaan memohon konsesi daripada MBI lebih lima tahun lalu. Bagaimanapun, rasuah itu dikatakan berterusan sejak syarikat itu memperoleh konsesi MBI.”
Sementara itu, SPRM dikatakan sedang menyiasat sama ada ahli politik dikaitkan itu mempunyai sebarang penglibatan dalam dakwaan rasuah berkenaan.
“Kita akan lihat jika ada keperluan untuk merekodkan kenyataannya. Setakat ini siasatan masih diteruskan.”