Jemaah Menteri tak bincang cukai warisan, kata Loke

Jemaah Menteri tak bincang cukai warisan, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata orang ramai perlu menunggu pengumuman rasmi berkait perkara itu pada Belanjawan 2025, Jumaat ini.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata dakwaan kerajaan bercadang memperkenal cukai warisan hanya ‘andaian’ penganalisis kewangan.
KUALA LUMPUR:
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook menafikan khabar angin mendakwa kerajaan bercadang membentangkan beberapa cukai baharu, termasuk cukai warisan pada Belanjawan 2025.

Beliau yang juga setiausaha agung DAP menyifatkan dakwaan kononnya kerajaan merancang melaksanakan cukai warisan hanyalah ‘andaian’ dibuat penganalisis kewangan.

Loke menasihatkan orang ramai menunggu pengumuman rasmi berkait perkara itu pada pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga menteri kewangan, pada Jumaat.

“Saya ingin mengambil peluang ini memaklumkan kepada semua di sini bahawa saya tidak mendengar cadangan itu dalam mana-mana mesyuarat Kabinet. Jangan mudah percaya kepada andaian,” katanya ketika berucap pada Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan.

“Dasar kerajaan hanya akan menjadi rasmi sekiranya ia dibentangkan di Parlimen. Tiada perbincangan berkenaan cukai warisan.”

Menurut aturan Dewan Rakyat, pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (ucapan belanjawan) dijadual pada 4 petang, Jumaat. Rang undang-undang itu akan dibahaskan di peringkat dasar bermula 28 Okt hingga 5 Nov, disusuli maklum balas menteri selama empat hari.

Cukai warisan dilaporkan antara lima cukai baharu yang didakwa akan dicadangkan. Ia akan dikenakan ke atas aset atau kekayaan yang diwarisi oleh benefisiari selepas kematian seseorang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.