
Berkongsi perkara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Mahadi Md Rodzi berkata ada diantara ahlinya ‘tidak mengusik’ elaun terbabit kerana mahu anaknya belajar dengan selesa.
Menurutnya, ini kerana mereka berharap dapat mengubah kehidupan keluarga menerusi pendidikan pada masa depan.
“Ada keluarga nelayan semua anaknya masuk universiti dan elaun sara hidup diterima digunakan untuk tampung perbelanjaan.

“Kami berharap elaun ini dapat diteruskan pada tahun depan bagi menjaga kesejahteraan dan masa depan komuniti nelayan melalui pelbagai aspek,” katanya kepada FMT.
ESHN yang diperkenalkan pada 2008 diteruskan pada Belanjawan 2024 membabitkan 38,000 penerima di seluruh negara dengan peruntukan RM136.8 juta.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan turut mengumumkan Insentif Hasil Tangkapan Nelayan sehingga RM1,000 sebulan, subsidi diesel pada harga terendah iaitu RM1.65 sen dan RM10 juta untuk membina serta baik pulih rumah nelayan uzur.
Mahadi juga berharap kerajaan dapat memfokuskan bantuan menaik taraf peralatan seperti enjin dan bot bagi meningkatkan produktiviti serta pendapatan nelayan menerusi Belanjawan 2025 bakal dibentang 18 Okt depan.
“Kesannya dapat menaik taraf hidup nelayan dan kehidupan mereka menjadi lebih baik,” katanya.
Penasihat Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia Jamaluddin Mohamad berkata pelbagai bantuan disediakan kerajaan itu meliputi pelbagai keperluan komuniti itu untuk terus mencari rezeki.
Menurutnya, ESHN contohnya membantu menampung pendapatan dan keperluan terutamanya semasa musim hujan atau laut bergelora menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut.
“Subsidi bahan api pula bantu nelayan mengurangkan kos operasi manakala insentif tangkapan dorong mereka tingkatkan usaha menambah hasil.
“Insentif bina dan baiki rumah sediakan kediaman selesa,” katanya.