
Ketua Polis Tanah Merah, Mohd Haki Hasbullah, berkata Muhammad Hafizul Abdullah Sani, 23, dan Muhammad Zulekhman Mokhtar, 22, dalam perjalanan dari arah Batang Merbau menghala Gual Ipoh kira-kira 5.30 petang.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu lori 38 tahun itu dalam perjalanan dari arah sama, tetapi berada di depan motosikal mangsa.
Beliau berkata, ketika lori itu mahu membelok ke simpang kanan, mangsa yang menunggang Yamaha 125ZR dipercayai cuba memotong kenderaan berkenaan.
“Bagaimanapun, mangsa gagal memotong kerana jarak terlalu dekat lalu melanggar belakang sebelah kanan lori,” katanya menurut Sinar Harian.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu, Hafizul terperosok bawah depan lori, manakala pemboncengnya terpelanting ke semak di tepi jalan.
Haki berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi nahas akibat parah di bahagian badan, manakala pemandu lori itu tidak cedera.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.