PKR Sarawak ‘bodoh’ rayu kerusi daripada GPS, kata penganalisis

PKR Sarawak ‘bodoh’ rayu kerusi daripada GPS, kata penganalisis

James Chin menyifatkan permintaan itu 'sangat bodoh' manakala Jayum Jawan berkata ia memberi gambaran PKR Sarawak kurang keyakinan.

SARAWAK ELECTIONS FLAG
Ketua Penerangan PKR Sarawak Tay Wei Wei dilaporkan meminta kerusi daripada Gabungan Parti Sarawak pada PRN akan datang.
PETALING JAYA:
Dua penganalisis politik menyindir PKR Sarawak yang merayu Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperuntukkan kerusi kepadanya menjelang PRN akan datang.

Minggu lalu, Sinar Harian memetik Ketua Penerangan PKR Sarawak, Tay Wei Wei, menggesa GPS berjiwa besar untuk membenarkan parti itu dan Pakatan Harapan Sarawak bertanding di kerusi pernah ditandingi mereka, tetapi kalah kepada GPS pada PRN lalu.

Kenyataan Tay dibuat di tengah-tengah spekulasi GPS mungkin tidak memberi ruang kepada mana-mana parti dari Semenanjung yang bekerjasama dengan mereka menerusi kerajaan perpaduan untuk bertanding pada PRN akan datang, yang perlu diadakan pada April 2027.

James Chin dari Universiti Tasmania menyifatkan permintaan PKR Sarawak ‘sangat bodoh’ kerana GPS yang mendominasi DUN tidak pernah melayan idea memberi laluan kepada parti pembangkang di Sarawak.

PH Sarawak sebahagian daripada kerajaan perpaduan di Putrajaya, tetapi menjadi pembangkang di DUN Sarawak.

“Kenapa nak beri kerusi kepada mereka yang bukan kawan anda?” soal Chin.

Jayum Jawan dari Universiti Malaysia Sarawak berkata, permintaan itu memberi gambaran PKR negeri kurang keyakinan dan takut kepada GPS serta parti komponennya.

“Jika PKR mahu kerusi di DUN, mereka perlu membuktikan mereka layak,” kata Jayum.

Tetapi, dua penganalisis itu bersetuju keputusan PKR Sarawak meletakkan calon pada PRN akan datang langkah tepat, memandangkan Presidennya, Anwar Ibrahim adalah perdana menteri.

Chin berkata, PKR hanya akan dipandang serius jika ia bertanding PRN, manakala Jayum pula berpendapat walaupun PKR Sarawak tidak mempunyai kerusi di DUN, ia masih ‘pencabar menggerunkan buat parti lain di Sarawak’ berdasarkan kedudukannya dalam kerajaan persekutuan.

“Terpulang kepada pengundi sama ada menerima atau menolak mereka,” katanya sambil menambah sebarang keputusan PKR Sarawak bertanding pada PRN tidak mungkin merenggangkan hubungan GPS dan PH yang terhad kepada politik saja.

Katanya, jika PH gagal membentuk kerajaan persekutuan pada PRU16, GPS terlebih dahulu akan menukar sokongannya kepada gabungan pemerintah baharu.

“Ia tidak bersifat peribadi,” kata Jayum.

Pada PRN 2021, semua 28 calon PKR Sarawak kalah kepada parti komponen GPS. Amanah turut tersingkir, manakala DAP Sarawak hanya mampu mempertahankan dua daripada tujuh kerusi dimenanginya pada 2016.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.