Jakim tarik balik 3,068 sijil halal

Jakim tarik balik 3,068 sijil halal

Antara sebab penarikan adalah kesalahan serius dalam memenuhi piawaian syariah atau teknikal di premis dipersijilkan halal.

Halal Logo
Jakim sentiasa melakukan pemantauan berkala bagi menangani sebarang isu salah guna logo halal dan penipuan terhadap perbahasan halal.
PETALING JAYA:
Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) menarik balik 3,068 Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) setakat semalam kerana ketidakpatuhan terhadap keperluan dan piawaian pensijilan itu.

Antara sebab penarikan adalah berlaku kesalahan serius dalam memenuhi piawaian syariah atau teknikal di premis dipersijilkan halal dan lain-lain seperti dinyatakan dalam Klausa 32 Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) 2020.

Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jakim, Muhyidin Aziz@Saari, berkata pihaknya mahupun majlis atau Jabatan Agama Islam Negeri-negeri sentiasa melakukan pemantauan berkala serta berjadual mahu pun pelaksanaan penguatkuasaan berterusan bagi menangani sebarang isu salah guna logo dan penipuan terhadap perbahasan halal.

Katanya, maklumat juga sering diperoleh daripada aduan dan ketika menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengannya.

Menurutnya, tiga jenis ketidakakuran sering kali ditemui yang membolehkan sijil halal ditarik atau digantung ketika pemantauan dijalankan.

“SPHM boleh digantung dan boleh dinaikkan kepada status ditarik balik jika pemegang gagal melaksanakan tindakan pembetulan dalam tempoh diarahkan.

“Ini contoh ketidakakuran kecil dan keputusan penarikan sijil boleh dibuat bergantung kepada keputusan Panel Pengesahan Halal Malaysia kerana ini menunjukkan mereka tiada komitmen sebagai pemegang SPHM.

“Sekiranya pihak industri melakukan ketidakakuran besar, SPHM juga boleh ditarik balik dan bagi ketidakakuran serius, SPHM ditarik balik serta-merta semasa pemantauan dijalankan,” katanya menurut Harian Metro.

Katanya, bagaimanapun ketika ini hasil pemantauan dan penguatkuasaan berterusan membawa kepada pematuhan piawaian pensijilan halal semakin meningkat dan ia menunjukkan keseriusan pihak industri serta kesedaran mengenai isu halal dalam negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.