Malaysia seru pendekatan diplomatik isu Laut China Selatan

Malaysia seru pendekatan diplomatik isu Laut China Selatan

Walaupun China dakwa sebahagian besar kawasan itu miliknya, Malaysia juga berpandukan undang-undang dalam menegaskan hak maritimnya.

china coast guard
Afiliasi wilayah beberapa pulau dan terumbu di Laut China Selatan menjadi subjek pertikaian antara China, Filipina dan beberapa negara Asia Pasifik selama beberapa dekad. (Gambar Reuters)
VIENTIANE:
Malaysia menegaskan pendekatan diplomatik dan kerjasama melalui Asean adalah cara terbaik untuk menangani pertikaian di Laut China Selatan.

Menteri Luar, Mohamad Hasan, menyatakan walaupun China mendakwa sebahagian besar kawasan Laut China Selatan sebagai miliknya, Malaysia turut berpandukan undang-undang antarabangsa dalam menegaskan hak maritimnya.

“Kami juga berpegang kepada undang-undang antarabangsa, sama seperti China. Namun, apa yang penting ialah kita sentiasa menggunakan saluran diplomasi dan tidak menutup pintu perbincangan,” katanya kepada pemberita Malaysia.

Mohamad juga menyeru negara terlibat tidak mengambil langkah yang boleh menutup ruang komunikasi sebaliknya duduk bersama untuk berbincang.

“Kita meminta semua pihak jangan ‘slam the door’ tetapi duduk bersama untuk mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya.

Jelasnya, Malaysia berpendapat bahawa isu Laut China Selatan perlu diuruskan secara bersama melalui pendekatan Asean, bukan oleh setiap negara secara individu.

“Pendekatan dari Asean adalah lebih sesuai kerana terdapat banyak negara pesisir seperti Malaysia, Filipina, Vietnam, dan Kemboja, yang mempunyai tuntutan masing-masing,” katanya.

Mohamad turut menegaskan Malaysia berada dalam kedudukan yang kukuh kerana telah lama mendaftarkan peta sempadan maritimnya mengikut Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982.

“Undang-undang antarabangsa dengan jelas menyatakan had-had maritim termasuk garisan pantai, garisan hadapan, dan zon ekonomi eksklusif 300km lebih,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan menjaga Laluan Perdagangan Laut China Selatan, yang merupakan salah satu laluan perdagangan paling sibuk di dunia.

Sebarang krisis di kawasan ini, akan memberikan kesan buruk terhadap perdagangan global.

Afiliasi wilayah beberapa pulau dan terumbu di Laut China Selatan menjadi subjek pertikaian antara China, Filipina dan beberapa negara Asia Pasifik lain selama beberapa dekad.

Rizab minyak dan gas yang signifikan telah ditemukan di pelantar benua pulau-pulau berkenaan, termasuk Kepulauan Paracel, Pulau Thitu, Terumbu Scarborough dan Kepulauan Spratly, dengan Terumbu Whitson menjadi sebahagian daripadanya.

Pada Julai 2016, berikutan tuntutan yang difailkan oleh Filipina, Mahkamah Timbang Tara Tetap di The Hague memutuskan bahawa China tidak mempunyai asas untuk tuntutan wilayah di Laut China Selatan. China pula tidak menyertai proses timbang tara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.