Kiandee, Radzi, Peja dijangka menang naib presiden Bersatu

Kiandee, Radzi, Peja dijangka menang naib presiden Bersatu

Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata Ronald Kiandee juga ada kelebihan sebagai satu-satunya Ahli Parlimen bukan Islam dalam kepimpinan Bersatu kini.

ronald kiandee, radzi jidin n faizal azumu
Penganalisis berkata Ronald Kiandee, Radzi Jidin dan Ahmad Faizal Azumu antara pilihan untuk jawatan naib presiden Bersatu memandangkan mereka menonjol di peringkat kebangsaan.
PETALING JAYA:
Penganalisis politik menjangka bekas menteri Ronald Kiandee dan Radzi Jidin, mengekalkan jawatan naib presiden Bersatu, manakala Ahmad Faizal Azumu pula melengkapkan pemegang kerusi itu pada pemilihan parti bulan depan.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara dan Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia percaya ketiga-tiganya menjadi pilihan untuk jawatan itu memandangkan mereka menonjol di peringkat kebangsaan.

Fauzi berkata, Kiandee, Ahli Parlimen Beluran, juga mempunyai kelebihan tambahan sebagai satu-satunya wakil rakyat bukan Islam dalam kepimpinan Bersatu, menjadikannya penting untuk parti dalam usaha mengukuhkan kedudukan imej pelbagai agama dan budaya.

Azmi berkata, kemenangan Kiandee dan Radzi – yang kini masing-masing memegang jawatan naib presiden – akan mengekalkan status quo dalam parti seterusnya menjamin kestabilan.

Katanya, sokongan kepada Faizal oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin juga menguatkan kedudukannya untuk menduduki satu daripada tiga kerusi naib presiden.

“Saya fikir mereka (Kiandee dan Radzi) dapat mempertahankan jawatan, manakala perwakilan Bersatu akan mematuhi kehendak presiden parti,” katanya kepada FMT.

Julai lalu, Muhyiddin berkata, Faizal bersetuju melepaskan jawatan timbalan presiden kepada Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, sebaliknya menyasarkan jawatan naib presiden.

Pertandingan enam penjuru untuk tiga jawatan naib presiden parti  turut melibatkan Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris, Adun Kuang Rafiq Abdullah dan Ketua Bahagian Bersatu Batu Kawan Aziss Zainal Abiddin.

Azmi berkata, satu lagi pertandingan yang pasti menarik perhatian adalah melibatkan 80 calon untuk 20 kerusi dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

“MPT sangat penting kerana ia badan pembuat keputusan. Sayap Pemuda dan Wanita tidak begitu sangat,” katanya.

Baru-baru ini sumber dalam Bersatu memberitahu FMT pemilihan parti dijangka menjadi perang proksi antara Hamzah dan Azmin Ali, walaupun Azmin tidak bertanding untuk sebarang jawatan kepimpinan pusat.

Azmi berkata, bukan sesuatu yang pelik jika kem berbeza wujud dalam pemilihan parti, kerana ini lazimnya didorong cita-cita politik individu yang mahu memperluaskan pengaruh dan pegangan terhadap parti.

“Tiada apa yang salah kalau begitu, walaupun secara tidak langsung membahagikan parti kepada dua kelompok, sama ada yang menyokong Azmin atau Hamzah,” katanya.

Azmi menjangka, kem Hamzah memenangi lebih banyak kerusi di MPT melihat kepada kekananan ketua pembangkang itu.

Bagaimanapun, Fauzi tidak melihat bukti wujud perang proksi antara dua pemimpin kanan Bersatu itu.

Jika memang perang proksi berlaku, Fauzi menjangka ‘kelompok’ Azmin lebih berkemungkinan menang memandangkan beliau dilihat lebih menarik kepada generasi muda.

“Potensi untuk menghidupkan semula parti itulah yang memberikan Bersatu peluang terus teguh dalam berdepan pelbagai cabaran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.