Ketua menteri, Ahli Parlimen Sabah bincang pindaan berkait kerakyatan

Ketua menteri, Ahli Parlimen Sabah bincang pindaan berkait kerakyatan

Hajiji Noor dan lapan Ahli Parlimen diberi taklimat oleh wakil KDN berhubung cadangan pindaan Perlembagaan yang akan dibahas di Dewan Rakyat.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor (berpakaian hijau) dan lapan Ahli Parlimen Sabah mendengar taklimat hari ini.
PETALING JAYA:
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor mempengerusikan mesyuarat dengan lapan Ahli Parlimen negeri itu bagi membincangkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai kewarganegaraan yang dijangka dibahaskan pada sidang Dewan Rakyat bulan ini.

Pejabat ketua menteri berkata, Hajiji dan Ahli-ahli Parlimen terbabit diberi taklimat oleh Pembantu Timbalan Setiausaha Bahagian Organisasi Jabatan Pendaftaran Kementerian Dalam Negeri Mimmi Suriati Mat Khalid.

Ahli Parlimen terbabit terdiri daripada Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan (Keningau); Armizan Mohd Ali (Papar); Shahelmey Yahya (Putatan); Jonathan Yassin (Ranau); Andi Suryady Bandy (Kalabakan); Matbali Musa (Sipitang); Lo Su Fui (Tawau); dan Riduan Rubin (Tenom). Turut hadir, Peguam Besar Negeri Brenndon Keith Soh.

Bagaimanapun, butiran perbincangan mereka belum didedahkan.

Mesyuarat pra-majlis itu, yang lazimnya diadakan sebelum sidang legislatif, diadakan seminggu selepas Kitingan meminta Sabah dikecualikan daripada peruntukan cadangan pindaan kewarganegaraan.

Kitingan yang menyifatkan cadangan pindaan itu sebagai ‘pedang bermata dua’ menggesa ia hanya terpakai bagi Semenanjung. Menurutnya, cadangan pindaan itu akan membuka pintu kepada pendatang tanpa izin.

Mesyuarat itu juga diadakan dua minggu selepas 28 pertubuhan dan 38 aktivis menggesa Ahli Parlimen Sabah mengundi membantah cadangan pindaan Perlembagaan itu, atas alasan ia akan memburukkan keadaan bagi individu tidak bernegara di Sabah.

Rang undang-undang cadangan pindaan itu, yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 25 Mac, juga akan memberikan kewarganegaraan kepada anak-anak wanita Malaysia yang dilahirkan di luar negara, dan menurunkan had umur memohon kewarganegaraan melalui pendaftaran daripada 21 kepada 18 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.