Bersih cadang dialog, debat isu tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen Sabah, Sarawak

Bersih cadang dialog, debat isu tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen Sabah, Sarawak

Bersih berkata dialog dicadangkan membabitkan semua pemegang taruh untuk berbincang isu tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen Sabah, Sarawak.

Bersih mengusulkan debat terbuka antara Wong Chin Huat dan James Chin yang mempunyai pandangan berbeza berhubung isu tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.
PETALING JAYA:
Bersih mencadangkan dialog nasional dan debat terbuka diadakan bagi isu tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.

Pertubuhan itu dalam kenyataan berkata cadangan penganjuran program itu susulan makum balas baik diterima daripada masyarakat terhadap isu terbabit menerusi jelajah diadakannya sebelum ini.

Menurutnya, dialog itu membabitkan semua pemegang taruh untuk berbincang peruntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) khususnya tentang peratusan kerusi untuk Sabah dan Sarawak bagi menjamin hak atau kuasa veto kepada pindaan perlembagaan boleh menghakis hak dua negeri itu.

“Bagi memulakan dialog tersebut, Bersih mengusulkan satu debat terbuka diadakan antara dua intelektual terkemuka mewakili dua sudut pandang berbeza, iaitu Wong Chin Huat dan James Chin.

“Kedua-duanya mempunyai pandangan yang berbeza tetapi berkongsi matlamat sama untuk mengangkat hak Sabah dan Sarawak seperti dalam semangat MA63,” katanya.

Menurutnya, debat terbuka boleh diadakan di tempat dan hos neutral bagi membincangkan isu tuntutan satu pertiga kerusi di Parlimen bagi wilayah Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan kuasa veto.

“Dialog dan perbahasan ini perlu dilakukan secara jujur, telus, terbuka dan tidak berpaksikan sentimen berlebihan serta melabelkan pihak berbeza pendapat sebagai anti atau pro kepada wilayah tertentu di Malaysia.

“Kerana ini isu nasional melibatkan kepentingan federalisme Malaysia, nilai dan nisbah pengundi dan semua warganegara,” katanya.

Sebelum ini, pentadbiran Sabah dan Sarawak senada meminta Putrajaya mengembalikan kuota 35 peratus ataupun satu pertiga daripada keseluruhan bilangan kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah.

Menurut Premier Sarawak Abang Johari Openg, gesaan itu untuk mengelak Parlimen meminda Perlembagaan Persekutuan yang akan menjejaskan kepentingan dua negeri terbabit.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor pula berkata pihaknya telah menyatakan perkara itu dalam beberapa siri mesyuarat MA63 bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.