
Dalam serbuan 8.30 pagi di Kampung Tambalugu, Jalan Tamparuli itu, pasukan terbabit merampas 8,600 liter petrol dan diesel dan 366 tong gas petroleum cecair (LPG) dan 355 bungkus minyak masak peket satu kilogram.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Roslee Abd Rahman, berkata pihaknya bertindak atas maklumat sebelum melakukan serbuan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menemukan 366 tong gas LPG dan tong biru berisi minyak diesel dan petrol. Setiap tong biru berisi 200 liter petrol dan diesel.
“Pemeriksaan lanjut turut menemukan satu lori membawa muatan 32 tong biru berisi petrol dan diesel. Turut ditemukan 355 bungkus minyak masak peket,” katanya ketika dihubungi hari ini, menurut Harian Metro.
Beliau berkata, PPM turut menahan seorang lelaki berusia 48 tahun selepas gagal mengemukakan permit premis, permit menyimpan gas dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Kawasan premis itu juga didapati tidak memiliki ciri-ciri keselamatan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM380,092.50. Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perkhidmatan Bomba 1988,” katanya.