Bacaan kedua, ketiga RUU mufti dibentang di Parlimen

Bacaan kedua, ketiga RUU mufti dibentang di Parlimen

Sebelum ini dilaporkan bacaan pertama RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 dilakukan pada Julai lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar dalam Majlis Pelancaran dan Pelepasan Jelajah Peduli Ummah: Sejahtera Insan Al-Falah. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar mengesahkan Rang Undang-undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada sidang Parlimen bermula 14 Okt ini.

Katanya, Jemaah Menteri bersetuju RUU itu dibentangkan untuk bacaan kedua dan ketiga dalam sidang Parlimen kali ini.

“RUU ini bertujuan untuk memperkukuhkan institusi kefatwaan di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur, dan Labuan,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Pelepasan Jelajah Peduli Ummah: Sejahtera Insan Al-Falah dianjurkan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Sebelum ini, media melaporkan bacaan pertama RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 dilakukan pada Julai lalu. RUU itu adalah satu daripada tiga RUU berkaitan hal ehwal Islam dibentangkan untuk tujuan pindaan.

RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 antaranya untuk memberi takrifan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sudut akidahnya bersumberkan aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiah.

Na’im juga berkata, RUU Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) tidak akan dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini.

“Tiada pembentangan RUU 355 pada sesi Parlimen minggu depan, dan buat masa ini belum ada keputusan mengenainya,” katanya.

Julai lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata pindaan terhadap RUU 355 tidak akan dilakukan secara terburu-buru, sebaliknya perlu mempertimbangkan pandangan daripada semua pihak berkepentingan.

RUU 355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah, yang kini terhad kepada denda maksimum RM5,000, penjara sehingga tiga tahun, atau sebatan enam kali, kepada bidang kuasa lebih luas mengikut syariah, kecuali untuk hukuman bunuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.