
Yeah Kim Leng dari Sunway University berkata peralihan daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar termasuk untuk petrol RON95, akan membolehkan kerajaan menjimatkan dana seterusnya dialihkan kepada bidang penting.
“Peralihan daripada subsidi menyeluruh kepada bersasar akan menghasilkan simpanan yang dapat disalurkan ke arah perbelanjaan lebih produktif, seperti pengangkutan, kesihatan, pendidikan, pembangunan luar bandar dan kebajikan sosial,” katanya kepada FMT.
Kejatuhan harga minyak termasuk minyak mentah Brent yang berkisar antara USD80 dan USD90 setong, sebelum jatuh kepada USD73 pada September. Harga gas asli turut jatuh sehingga 40%.
Walaupun harga runcit RON97 telah diapungkan, peralihan daripada subsidi menyeluruh kepada bersasar untuk RON95 belum dilaksanakan.
Yeah berkata kejatuhan harga minyak mentah bererti Perbendaharaan mengeluarkan jumlah lebih rendah untuk mengekalkan harga petrol RON95 pada kadar subsidi sebanyak RM2.05 seliter.
“Harga bahan api di negara kita agak stabil disebabkan subsidi, jadi perniagaan menerima manfaat daripadanya kurang mengalami ketidaktentuan.
“Harga stabil dinikmati perniagaan ini boleh dikaitkan dengan subsidi bahan api diberikan kerajaan.”
Sementara itu, Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menjangkakan perniagaan tempatan, khususnya dalam sektor seperti kimia, plastik dan pembungkusan yang bergantung kepada produk petroleum, akan merasai manfaat hasil harga minyak dunia yang menurun.
Industri pengangkutan – termasuk udara, air dan darat – juga merasai manfaat ini dan menjadi lebih kompetitif di pasaran antarabangsa akibat perbelanjaan bahan api dikurangkan, kata Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman.
Syed Hussain berkata pengurang kos perniagaan membolehkan firma terbabit melabur semula ke arah operasi mereka, meningkatkan produktiviti, seterusnya memperkukuhkan ekonomi.
“Kos pengoperasian lebih rendah memberi perniagaan peluang untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran global yang peka harga,” katanya.
Yeah bersetuju penjimatan ini mampu membawa kepada lebih produktiviti di pelbagai sektor.
“Harga bahan api global lebih rendah mengurangkan tekanan inflasi, dan ini bukan saja memanfaatkan perniagaan malah turut meningkatkan keyakinan pengguna. Ini menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi lebih kukuh,” katanya.
Bagaimanapun, Syed Hussain berkata penjimatan itu mungkin tidak terus dirasai pengguna, kerana perniagaan akan terus bersikap berhati-hati. Katanya, ini disebabkan banyak syarikat enggan menurunkan harga akibat ketaktentuan dalam pasaran minyak dunia.
“Perniagaan teragak-agak menurunkan harga kerana bimbang kos bahan api akan meningkat semula. Mereka lebih cenderung mengekalkan struktur harga sedia ada bagi melindungi margin keuntungan.
“Kerajaan patut menyediakan insentif untuk perniagaan melabur semula dalam sektor pertumbuhan tinggi. Potongan cukai, geran dan dana penyelidikan merupakan alat penting dalam membantu syarikat memacu produktiviti serta daya saing,” katanya.