
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam seruannya berkata, Asean perlu tegas dan tidak goyah dalam menyampaikan mesej jelas kepada dunia bahawa kumpulan ini mesti terus kekal bersatu.
Beliau berkata, Asean juga harus menjadi penggerak utama dalam memastikan keamanan, keselamatan dan kerjasama di rantau ini.
“Seiring peningkatan ketegangan global dan dominasi polarisasi berbanding integrasi, sebarang keretakan dan perpecahan dalam Asean berisiko dieksploitasi, yang boleh merugikan pusat kepimpinan dan kesatuan Asean,” katanya pada sesi pleno Sidang Kemuncak Asean ke-44 di sini.
Selaras kepentingan keamanan dan kestabilan untuk pertumbuhan serta kemakmuran berterusan di rantau ini, Anwar berkata, penting bagi Asean untuk terus memupuk dan mengukuhkan hubungan dengan rakan dialog serta rakan kongsi luar.
Menurutnya, Malaysia juga menggalakkan rakan dialog Asean menguruskan perbezaan mereka demi mencapai hasil positif.
“Kita tidak boleh menekankan secara berlebihan betapa pentingnya dialog dan kerjasama sebagai asas kepada persahabatan dan hubungan baik.”
Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia menantikan penerimaan Visi Komuniti Asean 2045 dan Rancangan Strategiknya pada Sidang Kemuncak Asean ke-46 tahun depan.
Katanya, dokumen itu akan merangka hala tuju strategik rantau ini pada masa depan dan mencerminkan harapan rakyat untuk wilayah aman, stabil serta makmur yang akan menyumbang secara positif kepada pembangunan global.
“Ketika Malaysia bersiap sedia mengambil alih jawatan pengerusi Asean, kami komited membina masa depan lebih inklusif dan mampan bagi rantau ini.”
Sempena ulang tahun ke-10 Komuniti Asean tahun depan, beliau turut menyatakan keyakinan kumpulan ini akan berada dalam kedudukan lebih kukuh untuk menghadapi cabaran dan merebut peluang.
Terdahulu, Anwar dalam ucapannya mengalu-alukan rakan sejawat baharunya dari Singapura, Lawrence Wong dan Thailand, Paetongtarn Shinawatra sebagai anggota baharu keluarga Asean.
Sidang Kemuncak Asean ke-44 dan ke-45 serta sidang berkaitan bermula secara rasmi di ibu negara Laos hari ini sehingga Jumaat nanti.
Anwar, yang tiba di sini pada Selasa malam, juga akan menghadiri Sidang Kemuncak Campur Satu antara Asean dan tujuh Rakan Dialognya, iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada, serta Sidang Kemuncak Asean Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak Asean-Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Pemimpin Asean dan rakan dialog lain, termasuk Perdana Menteri China, Li Qiang dan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken juga menghadiri sidang tersebut.
Semasa majlis penutupan sidang kemuncak itu, Laos sebagai pengerusi Asean semasa akan menyerahkan jawatan berkenaan kepada Malaysia secara simbolik.
Pada majlis itu, Anwar dijadual menyampaikan ucapan ringkas menggariskan visi Malaysia sebagai pengerusi Asean.
Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan pengerusi Asean pada 1 Jan 2025.