Jana pendapatan, elak bergantung dana kerajaan, Zahid beritahu anak syarikat KKDW

Jana pendapatan, elak bergantung dana kerajaan, Zahid beritahu anak syarikat KKDW

Zahid Hamidi berkata bioekonomi, tenaga boleh diperbaharui dan pendidikan berorientasikan perniagaan mampu menjana hasil baharu.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berucap merasmikan penutupan Jelajah Hari Terbuka ‘Malaysia Madani, Unisel Depani’ dan Kelapa Fest Bagan Datuk 2024 di Dataran Waterfront hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Zahid Hamidi menggesa anak syarikat di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diketuainya supaya memperkukuh inisiatif mandiri dengan mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan kerajaan.

Mengambil contoh kejayaan Felcra menjana keuntungan boleh agih berjumlah RM129 juta, Zahid berkata setiap agensi perlu mencari pendapatan sendiri melalui sektor-sektor seperti bioekonomi, tenaga boleh diperbaharui dan pendidikan berorientasikan perniagaan.

Beliau yang juga timbalan perdana menteri mencadangkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperkukuh inisiatif pendidikan dan latihan berorientasikan perniagaan.

“Risda (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) pula saya sarankan memperkenalkan produk pertanian premium untuk pasaran antarabangsa,” katanya berucap pada majlis perhimpunan bulanan KKDW.

Ogos tahun lalu, Zahid berkata anak syarikat agensi KKDW yang tidak memberikan keuntungan akan ditutup dan digabungkan.

Cadangan kepada Kementerian Kewangan itu dalam usaha drastik mengurangkan beban kewangan kerajaan dan menstruktur semula anak syarikat di bawah agensi kementerian.

Dalam pada itu, Zahid turut menggesa penggunaan Dashboard Komuniti Desa disegerakan bagi membolehkan akses kepada maklumat pertanian, pendidikan, latihan keusahawanan dan bantuan dapat dipercepatkan.

Selain itu, beliau mahu kerjasama dengan firma teknologi diteruskan, khususnya melalui program bootcamp literasi digital yang dicadangkan di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

“Program ini boleh mempersiapkan belia untuk pekerjaan masa depan, mengurangkan jurang digital luar bandar dan memupuk nilai keusahawanan,” katanya.

Zahid turut menggalakkan kerjasama dengan platform e-dagang yang berjaya meningkatkan pendapatan seperti dibuktikan anak Orang Asli Nur Rafidah Man atau dikenali ‘Jungle Girl’ yang mencatatkan RM1 juta dalam seminggu bagi jualan minyak khasiat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.