
Ketua Polis Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 8.59 malam.
Menurutnya, Madrafataha Indal Bangsawan turun ke tempat parkir flat di Bandar Bukit Tinggi 1 itu selepas disuruh ibunya mengambil makanan dalam kereta sekitar 2.20 petang, namun kemudian tidak kembali ke rumah.
“Pada 3 petang, ibu mangsa mencari kanak-kanak itu bagaimanapun tidak menemuinya,” katanya, lapor Bernama.
Cha berkata, ibu mangsa kemudiannya membuat laporan dan IPD Klang Selatan telah membuka kertas enkuiri polis orang hilang bagi siasatan lanjut.
Kanak-kanak itu digambarkan sebagai berbadan kurus, berkulit cerah, rambut di paras bahu, dengan ketinggian 150cm.
Dia kali terakhir dilihat berpakaian baju T berwarna hijau serta berseluar trek hitam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkannya kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau balai polis berhampiran.