Sindiket tumpas, kastam rampas dadah RM12 juta

Sindiket tumpas, kastam rampas dadah RM12 juta

Rampasan serbuk mampat disyaki kokain dilakukan selepas kastam menyita sebuah kontena sejuk beku di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah.

Pengarah Kastam Johor Aminul Izmeer Mohd Sohaimi (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan hasil rampasan dadah disyaki kokain seberat 60.2kg pada sidang media hari ini. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor mematahkan sindiket penyeludupan dadah terbesar tahun ini melibatkan rampasan bernilai RM12.05 juta selepas menyita sebuah kontena sejuk beku di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah di Iskandar Puteri pada 1 Okt lalu.

Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi, berkata rampasan 60.2kg serbuk mampat disyaki kokain itu dilakukan pada 11.15 pagi hasil maklumat dan risikan selama sebulan oleh Cawangan Risikan Zon Selatan.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal kontena itu didapati membawa 19 tan udang segar sejuk beku bernilai RM735,000 yang diikrarkan sebagai barang dagangan.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan rapi kita menemukan 62 bungkusan plastik mengandungi serbuk mampat berwarna putih disyaki kokain yang disembunyikan di ruang pendingin hawa kontena.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, kontena berkenaan telah berada di pelabuhan itu dalam dua atau tiga hari sebelum operasi sitaan dibuat,” katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor.

Beliau berkata, hasil maklumat mendapati kontena dari India itu transit di pelabuhan berkenaan sebelum dibawa ke destinasi seterusnya iaitu di Miami, Amerika Syarikat.

Aminul berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa antarabangsa bagi menyiasat kes berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata modus operandi sindiket penyeludupan dadah berkenaan didapati sama dengan kes rampasan dilakukan pihaknya yang melibatkan 50kg kokain selepas menyita sebuah kontena dari China di pelabuhan sama pada Mei lalu.

“Sindiket itu turut menyembunyikan dadah di ruangan pendingin hawa, namun berdasarkan siasatan awal sindiket berkenaan didapati tidak mempunyai kaitan dengan kes terbaharu ini,” katanya.

Sitaan kontena membawa 60.2kg dadah disyaki kokain itu tidak melibatkan sebarang penahanan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.