
Menurut polis, saringan kesihatan terhadap kanak-kanak yang diselamatkan itu menunjukkan sekurang-kurangnya 13 telah diliwat, manakala beberapa yang lain mendakwa dipaksa melakukan serangan seksual.
GISBH pada mulanya menafikan mengoperasikan rumah kebajikan berkenaan dan menolak dakwaan penderaan diperkatakan. Bagaimanapun, CEO Nasiruddin Ali kemudian mengakui ‘satu atau dua kes’ liwat pernah berlaku dalam organisasi berkenaan.
Sejak itu, beberapa lagi premis dikendalikan GISBH di seluruh negara turut diserbu, yang membawa kepada penangkapan kepimpinan tertinggi syarikat serta pembekuan pelbagai akaun bank.
Siasatan turut mendedahkan ahli GISBH mengamalkan Aurad Muhammadiah, ajaran yang dikaitkan dengan pergerakan Al-Arqam yang diharamkan pada 1994. Risalah dan buku mempromosikan ajaran pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad, turut ditemui ketika serbuan berkenaan.
FMT meneliti asal-usul pergerakan Al-Arqam, dan kontroversi berkisar mengenai dakwaan amalan serta ajaran sesat dibawanya.
Asal-usul
Al-Arqam bermula sebagai pergerakan dipengaruhi ajaran Sufi pada 1968 di bawah pimpinan Ashaari yang juga guru agama. Ashaari yang pada mulanya aktif menganggotai PAS, dikatakan kecewa dengan politik parti itu seterusnya mengalihkan fokusnya terhadap prinsip agama Islam.
Dia kemudian menubuhkan perkampungan di Sungai Penchala yang dilengkapi masjid, sekolah dan pelbagai perniagaan yang semuanya beroperasi berasaskan ajaran Ashaari.
Pengikutnya tinggal dalam komun ala sosialis yang menekankan autarki dan kesaksamaan, dengan pendapatan dan bantuan diagihkan berasaskan keperluan, bukan pekerjaan.
Menurut profesor Universiti Sains Malaysia, Ahmad Fauzi Abdul Hamid, pergerakan itu berasal daripada keinginan Ashaari ‘memerangi kemerosotan moral, politik, ekonomi, dan budaya’ masyarakat Melayu Islam pada 1960-an, dan ‘apa dilihat sebagai keengganan pemimpin politik serta agama untuk menangani keadaan itu’.
Ashaari yang turut dipanggil ‘Abuya’ (bererti ‘ayah’) oleh pengikutnya, memimpin pergerakan itu, yang berkembang secara signifikan antara 1970-an hingga 1990-an, walaupun berdepan pelbagai tentangan. Malah, 7,000 anggota kumpulan itu dikatakan menjadi penjawat awam sekitar 1994.
Fauzi, yang penyelidikannya turut merangkumi pergerakan Islam dan Islamis, memberitahu FMT bahawa apa yang membuatkan Al-Arqam ‘menarik’ adalah ia menawarkan ‘jalan ketiga’ antara Umno yang dilihat sebagai hipokrit dan korup, dengan PAS yang dilihat antipembangunan.
“Ia beroperasi di luar sistem politik dan ekonomi konvensional. Ia tidak terlibat dalam politik pilihan raya, mahupun mengikuti amalan perbankan konvensional.
“Ekonominya berasaskan pengorbanan, kerja keras dan kesetiaan kepada perjuangan. Sikap politik dan ekonominya sememangnya subversif terhadap sistem kapitalis dan demokrasi Malaysia moden,” katanya.
‘Diburu’ kerajaan
Pada 1986, pihak berkuasa agama membangkitkan kebimbangan mengenai buku tulisan Ashaari, yang mencadangkan Nabi Muhammad boleh ditemui dalam jaga seterusnya membawa kepada pengharaman pergerakan itu. Ashaari mengingkari pengharaman itu dan meninggalkan Malaysia, selain mencabar pihak berkuasa dengan menerbitkan buku yang mempertahankan pergerakannya.
Tuduhan bahawa pergerakan itu terlibat dengan aktiviti bertentangan ajaran Islam – contohnya dakwaan Ashaari memiliki kuasa kerohanian luar biasa – meningkatkan pemerhatian terhadap pergerakan itu. Ashaari dituduh cuba membentuk kerajaan Islam dan mencetuskan kontroversi apabila meramalkan kejatuhan kerajaan pimpinan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.
Pada 1994, Majlis Fatwa Kebangsaan mengisytiharkan Al-Arqam sebagai organisasi sesat seterusnya kumpulan itu diharamkan. Bagaimanapun, Fauzi membayangkan perkara itu turut didorong faktor politik.
“Ahli politik Umno menggunakan isu agama untuk tujuan kepentingan politik, khususnya bagi melindungi kedudukannya sebagai pelindung tunggal orang Melayu Islam, dan pengaruh Al-Arqam yang semakin meluas mengancam perkara itu.
“Apa yang mencetuskan pengharaman itu adalah tinjauan pendapat sebuah tabloid yang menunjukkan Ashaari sebagai alternatif boleh dipercayai berbanding Mahathir sebagai perdana menteri,” katanya.
Ketika itu, Ketua Polis Negara Abdul Rahim Noor malah menyamakan Ashaari dengan pemimpin kultus seperti Jim Jones dan David Koresh.
Jones yang mengasaskan People’s Temple di Guyana mengetuai pembunuhan-bunuh diri beramai-ramai kira-kira 900 pengikutnya pada 1978 dalam kejadian digelar ‘Jonestown Massacre’.
Sementara itu, pada 1993 pihak berkuasa persekutuan AS mengepung kumpulan Branch Davidian pimpinan Koresh selama 51 hari di Waco, Texas, berakhir dengan tragedi akibat kebakaran besar di komun itu meragut 86 nyawa.
Skuad pembunuhan pengganas?
Pengaruh Al-Arqam bukan setakat di Malaysia, malah turut dilihat di negara lain seperti Indonesia dan Thailand.
Fauzi berkata, jabatan hal ehwal agama Islam Jabatan Perdana Menteri kemudian mendakwa kumpulan itu telah menubuhkan ‘tentera bunuh diri’ terdiri daripada 313 individu di Bangkok, yang menyasarkan untuk melakukan rampasan kuasa di Malaysia.
Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan pihak berkuasa Thailand selepas hasil siasatan tidak menemui bukti kukuh mengenai perkara itu, menurut laporan Bangkok Post.
Menurut Fauzi, tuduhan mengenai ‘skuad bunuh diri’ digelar Tentera Badar itu tidak benar, dan Mahathir mahupun kerajaan Malaysia tidak pernah meminta maaf bagi kenyataan berkenaan.
“Ia bukan sekadar taktik untuk membangkitkan kebencian terhadap kumpulan itu, tetapi propaganda bagi menyediakan rakyat Malaysia untuk pengharaman penuh Al-Arqam,” katanya.
Seminggu sebelum fatwa dikeluarkan, Abdullah Fahim, ketua pegawai penyelidik di jabatan hal ehwal Islam, mengaku kepada wartawan bahawa dakwaan wujudnya ‘Tentera Badar’ adalah usaha propaganda untuk menyiapkan rakyat untuk fatwa yang lebih komprehensif, menurut laporan akhbar Daily Express Sabah.
Bagaimanapun, Fauzi berkata tidak ramai tahu mengenai pengakuan itu kerana edaran akhbar Sabah itu terhad dan tidak mungkin sampai ke pengetahuan masyarakat Melayu Islam di semenanjung. Beliau menyifatkan Al-Arqam sebagai sasaran mudah kerana sikapnya yang tidak ganas dan tunduk kepada pihak berkuasa tanpa melawan.
Sementara itu, Profesor Abu Hanifah Haris dari Universiti Malaya berkata, Al-Arqam tidak mempunyai cabang ketenteraan, berbeza dengan beberapa pergerakan Islam lain.
“Tiada sayap ketenteraan yang cuba membentuk kerajaan sendiri, berbeza dengan pergerakan lain di rantau ini seperti Jemaah Islamiyah atau Al-Ma’unah yang mencetuskan isu keselamatan apabila menyerbu kem tentera dan merampas senjata.
“Al-Arqam lebih memfokuskan jihad ekonomi sebagai sasaran. Disebabkan itulah mereka mampu menghasilkan pelbagai produk, bukan setakat makanan,” katanya kepada FMT.
Penahanan dan pengakuan awam
Kepimpinan tertinggi Al-Arqam ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada September 1994 yang mengakibatkan sekolah dan perniagaannya ditutup.
Pada bulan berikutnya, Ashaari membuat pengakuan bahawa pergerakannya menyeleweng, dan kembali bertaubat yang disiarkan televisyen kebangsaan.
Perkampungan pergerakan itu kemudian ditutup manakala bekas ahlinya dilarang bergaul untuk menghalangnya dihidupkan semula.
Ashaari dikenakan tahanan rumah sehingga Oktober 2004, sebelum meninggal dunia enam tahun kemudian. Pergerakan itu bagaimanapun diteruskan menerusi organisasi ditubuhkan balunya serta pengikutnya, termasuk Rufaqa’ Corporation (1997-2007), dan kemudiannya, GISBH.