
Bagaimanapun, Mufti Negeri Sembilan Mohd Faudzinaim Badarudin berkata jawatankuasa yang bersidang pada 28 Sept lalu belum memutuskan sama ada perlu mengeluarkan fatwa baharu.
“Fatwa ajaran al-Arqam yang diharamkan sejak 1994 dan kemudian diwartakan sekali lagi pada 2016 masih relevan dan boleh dikuatkuasakan bagi menangani ajaran GISBH.
“Bagaimanapun, ia akan dinilai dan diputuskan semula pada mesyuarat jawatankuasa fatwa bulan ini,” katanya menurut Berita Harian.
Setakat ini, tiga negeri iaitu Perlis, Selangor dan Pahang mengisytiharkan ajaran dan kepercayaan GISBH adalah menyeleweng dan sesat.
Jawatankuasa fatwa ketiga-tiga negeri itu berpendapat pengikut GISBH masih meneruskan kepercayaan dan amalan dalam Aurad Muhammadiah dibawa oleh al-Arqam.
Pengikut GISBH juga mempercayai bahawa pengasas al-Arqam Ashaari Muhammad yang meninggal dunia pada 2010 tidak mati sebaliknya ghaib.