
Ditemubual wartawan terkenal, Mehdi Hasan, baru-baru ini, Anwar berkata Malaysia harus fokus pada cabaran sebenar dunia yang sedang mengalami pendigitalan dan peralihan tenaga, walaupun pihak tertentu menggunakan hudud sebagai alat politik.
“Apabila berkuasa, mereka mendakwa ‘hudud bukan keutamaan kami sekarang’. Jelas sekali bagi mereka, ia lebih kepada muslihat politik. Dalam Islam, kita mesti menangani keutamaan, dan bagi saya, keamanan dan keselamatan diutamakan,” katanya lapor Bernama.
Antara isu mendesak yang penting ditangani pada masa ini ialah pendidikan dan penjagaan kesihatan, katanya.
“Keutamaan mesti termasuk meningkatkan kualiti pendidikan, menyediakan penjagaan kesihatan yang lebih baik, dan menangani isu-isu penting yang lebih mendesak, bukannya membincangkan topik yang pembangkang tahu tidak akan dilaksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia perlu berupaya mempamerkan kehebatan sebagai negara majmuk yang berjaya melalui tadbir urus yang baik dan toleransi, dalam dunia yang dihambat perkauman dan fanatik agama.
“Dalam dunia di mana terdapat begitu banyak defisit, dari segi amanah, percanggahan, hipokrasi, perkauman, fanatik agama…. Malaysia perlu berupaya mempamerkan kehebatannya sebagai negara berbilang kaum, berbilang agama yang berjaya.”