
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Riki Mohan Singh Ramday, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 6.19 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dihantar ke lokasi kemalangan membabitkan sebuah Nissan Frontier, Proton Iswara Aeroback dan motosikal itu.
“Terdapat 13 mangsa dalam kemalangan ini. Empat mangsa dalam Proton Iswara Aeroback dikeluarkan orang awam dengan dua parah dihantar ke Klinik Kesihatan Tungku oleh ambulans untuk rawatan lanjut.
“Satu mangsa dalam Proton Iswara Aeroback dan seorang penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang yang berada dalam kereta sama disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tungku,” katanya ketika dihubungi, menurut Berita Harian.
Beliau berkata, lapan lagi mangsa yang berada dalam Nissan Frontier membabitkan empat lelaki dan wanita dewasa serta tiga kanak-kanak hanya cedera ringan dan dihantar ke klinik untuk rawatan.
“Dua mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan pada 10.06 malam,” katanya.