2 pelancong didenda RM5,000 berkelakuan lucah ketika larian

2 pelancong didenda RM5,000 berkelakuan lucah ketika larian

Pelancong warga Taiwan dan India itu didenda selepas mengaku bersalah di Majistret Kota Tinggi.

Tertuduh iaitu warga Taiwan, Arthur Wang, 66, dan warga India, Satanarayana Prasad Papoli, 70, memohon maaf kerana menyinggung perasaan rakyat Malaysia ketika menyertai acara larian itu. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Dua lelaki warga asing masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kota Tinggi selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkelakuan lucah di tempat awam ketika menyertai satu program larian pada 4 Okt lalu.

Majistret NurKhalida Farhana Abu Bakar turut mengarahkan tertuduh iaitu warga Taiwan, Arthur Wang, 66, dan warga India, Satanarayana Prasad Papoli, 70, dihukum penjara satu bulan jika gagal membayar denda, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan, Arthur didakwa melakukan perbuatan lucah yang mendatangkan kegusaran kepada orang lain di tempat awam dengan berpakaian menjolok mata di jalan utama Desaru, di Pengerang pada jam 4 hingga 6 petang, 4 Okt lalu.

Manakala, Satanarayana pula didakwa melakukan perbuatan sama di perkarangan Lotus Desaru Hotel, Pengerang pada waktu dan tarikh yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan dengan denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Ghafar Ab Latif, Ahmad Khairuddin Khalid dan Foo Fang Leong.

Terdahulu, Abdul Ghafar memohon kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman yang dapat memberi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh malah kepada warga asing dan rakyat tempatan agar berpakaian sopan dan mengikut adat budaya negara yang dilawati.

Bagaimanapun, Arthur dan Satanarayana dalam rayuannya memohon maaf kerana menyinggung perasaan rakyat Malaysia dan meminta mahkamah mengurangkan hukuman denda.

Semalam, polis menahan tiga lelaki kerana disyaki berkelakuan tidak senonoh dan lucah ketika menyertai program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024.

Ketua Polis Johor M Kumar berkata, semua suspek ditahan di sebuah hotel di Kota Tinggi.

Sebelum ini, acara larian itu menerima kecaman pengguna di media sosial selepas beberapa gambar peserta dipercayai pelancong asing berpakaian songsang tular di media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.