
Ketua Polis Selama Sarudin Samah, berkata suspek berusia 62 tahun tidak pernah memiliki sebarang lesen senjata api.
Katanya, tembakan dilepaskan mengakibatkan lelaki berusia 32 tahun cedera kaki kiri, dalam kejadian 7.50 malam, Jumaat lalu.
Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa bersama rakannya berusia 26 tahun, masuk ke kebun berkenaan pada 5 petang dengan membawa lori untuk mencuri kelapa sawit.
“Turut ditahan adalah rakan mangsa yang menghantar mangsa ke hospital selepas didapati terbabit sama dalam kegiatan berkenaan.
“Soal siasat ke atas suspek mendapati dia tidak pernah memiliki sebarang lesen senjata api sebelum suspek membawa polis dan menunjukkan tempat senjata itu disorok,” katanya menurut Harian Metro pada sidang media, di Selama.
Katanya, suspek memiliki senjata api itu sejak 10 tahun lalu, dibeli dari seorang kenalan kampung pada harga RM1,200 lengkap peluru penabur.
“Suspek memaklumkan penjualnya sudah meninggal dunia dan semakan rekod jenayah lampau juga suspek turut pernah ditahan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971.
“Selain itu kebun seluas lapan ekar yang diusahakan juga adalah kebun haram yang tidak mempunyai pemilikannya,” katanya.
Sarudin berkata, suspek direman selama tiga hari bermula hari ini, manakala rakan mangsa dibebaskan dengan jaminan polis.
Kes disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 dan siasatan lanjut masih diteruskan.