Selepas kontrak KP tamat, Fahmi kata fungsi J-Kom diteliti semula

Selepas kontrak KP tamat, Fahmi kata fungsi J-Kom diteliti semula

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil suarakan hasrat pindah Pejabat J-Kom balik ke kementerian.

fahmi fadzil
Fahmi Fadzil berkata, sudut organisasi dan perjawatan Jabatan Komunikasi Komuniti juga turut diteliti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Fungsi Jabatan Komunikasi Komunikasi (J-Kom) akan diteliti semula terutama dari sudut organisasi dan perjawatan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

“Antara penyelarasan (sedang dilaksanakan) itu adalah dari sudut perjawatan dan organisasi. Dalam masa sama, kita berhasrat untuk memindahkan secara fizikal Pejabat J-Kom balik ke kementerian (komunikasi).

“Selain itu, fungsi J-Kom ini juga akan teliti semula,” katanya menurut Harian Metro selepas merasmikan Program Kita Madani Peringkat Perlis, di Kangar.

Mengulas pelantikan ketua pengarah J-Kom yang masih kosong, Fahmi berkata jawatan itu kini dipangku Timbalan Ketua Pengarah Ismail Yusop, sambil tidak menentukan tempoh masa bagi pelantikan baharu.

Pada 23 Sept, ketua pengarah agensi itu, Mohd Khairuddin Othman ditamatkan kontrak selepas enam bulan dilantik.

“Setakat ini, kita belum lagi ke arah itu (pelantikan ketua pengarah J-Kom baharu) dan saya sudah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa untuk meneliti struktur J-Kom untuk dibuat penyelarasan semula,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.