Presma syor ‘kedai mamak’ tak jual rokok

Presma syor ‘kedai mamak’ tak jual rokok

Sehingga kini 40% daripada 12,000 premis bernaung bawah persatuan itu tidak lagi menjual rokok.

Presiden Presma Jawahar Ali Taib Khan berharap ‘kedai mamak’ di bawah naungan persatuan tidak lagi menjual rokok. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
‘Kedai mamak’ disyorkan tidak lagi menjual rokok, kata Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Jawahar Ali Taib Khan.

Katanya, setakat ini lebih 40% daripada 12,000 premis di bawah persatuan itu tidak lagi menjual rokok.

“Saya rasa daripada lebih daripada lebih 12,000 premis, hampir 40% tidak lagi menjual rokok.

“Kita tengok contoh restoran di Puncak Alam, baru tadi menteri kesihatan beri surat penghargaan kerana tidak menjual rokok.

“Saya rasa ini satu hala tuju yang baik dalam industri makanan ini. Perumpamaan dia macam ini, kalau kata arak haram, kalau zaman dulu ada kedai masih jual tapi sekarang ini dah tiada dah,” katanya menurut Astro Awani.

“Kalau boleh, restoran ini, kalau nakkan semuanya halal, rokok ini pun kita hindarkanlah dalam masa terdekat ini.”

Dalam pada itu, beliau berkata, Presma menyuarakan sedikit kebimbangan dengan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Jawahar berkata, ada peruntukan dalam akta itu memperuntuk premis boleh dikompaun kerana gagal menghalang orang merokok.

“Yang itu kami terkilan sikit sebab bidang kuasa kami cukup terhad, tapi kami lega kerana dapat menyampaikan pandangan kepada menteri kesihatan dan pegawai beliau,” katanya.

Beliau berharap ada budi bicara daripada pegawai pemantau.

“Saya juga berharap pemantauan berkala dapat dilakukan di premis untuk membudayakan masyarakat kita tidak merokok di premis makanan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.