Penduduk tak putus asa jejak Zuzina walau SAR dihenti

Penduduk tak putus asa jejak Zuzina walau SAR dihenti

Tiada petanda seperti selipar, baju, atau tapak kaki dijumpai dengan SAR ditamat pada 27 Sept lalu.

Wanita Orang Asli, Zuzina Abine, keluar rumah pada 20 Sept dan kali terakhir dilihat memakai baju kemeja-T berwarna hitam serta berkain batik. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Lebih 30 penduduk dari Kampung Bering, Kampung Pasik, dan Kuala Wook, Gua Musang terus berusaha mencari wanita Orang Asli, Zuzina Abine, 32, yang hilang sejak 20 Sept, walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dihentikan seminggu selepas kejadian.

Penghulu Kampung Bering Lama Anjang Ranget, 60, berkata mereka telah melakukan pencarian sejauh 10km iaitu dari Kampung Bering hingga ke kawasan sempadan Kampung Gawin, Pos Gob, tetapi usaha menemukan mangsa masih gagal.

“Sebelum ini, pihak polis dan bomba telah menggunakan anjing pengesan, tetapi tidak menjumpai sebarang petanda seperti selipar, baju, atau tapak kaki Zuzina.

“Sekiranya kami menemukan sebarang kesan yang ditinggalkan Zuzina, kemungkinan khidmat dukun daripada masyarakat Orang Asli akan digunakan,” katanya menurut Bernama.

Kakak mangsa, Timah Ason, 37, berkata pada hari kejadian adiknya yang menghidap penyakit sawan keluar dari rumah pada 7 pagi tanpa disedari ahli keluarga dan kali terakhir dilihat memakai baju kemeja-T berwarna hitam serta berkain batik.

“Zuzina mungkin tersesat, kami sekeluarga sangat rindu kepadanya dan berharap dia ditemukan dengan selamat,” katanya.

Terdahulu, Adun Nenggiri Azmawi Fikri Abdul Ghani bersama wakil daripada beberapa agensi menyampaikan bantuan makanan sebagai tanda sokongan kepada keluarga dan penduduk kampung yang meneruskan misi mencari mangsa.

Polis tiada petunjuk

Ketua Polis Gua Musang Sik Choon Foo, berkata operasi SAR ditamatkan pada 27 Sept setelah pencarian dalam radius 2.5km bermula dari rumah mangsa, gagal menemukan sebarang petunjuk.

Beliau berkata, SAR yang dijalankan turut melibatkan beberapa agensi seperti bomba, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Media sebelum ini melaporkan, polis sedang berusaha mengesan seorang wanita Orang Asli dikenali sebagai Zuzina dari Kampung Bring Lama, Pos Pasik yang berketinggian 152cm, berat 43kg, berambut pendek dan keriting, berkulit hitam manis, bentuk mata bulat, memiliki bibir tebal dan mempunyai kesan parut di bahagian betis sebelah kanan, dipercayai hilang sejak 20 Sept.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.