Imigresen tumpas sindiket bawa masuk warga asing menyamar ahli sukan

Imigresen tumpas sindiket bawa masuk warga asing menyamar ahli sukan

Warga asing terbabit tiba di Malaysia berpakaian sukan, bersama surat jemputan pertandingan sukan disyaki palsu, bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Jabatan Imigresen menahan 21 warga Bangladesh berusia antara 21 hingga 33 tahun menerusi operasi khas di Maluri, Kuala Lumpur, pada Khamis lepas. (Gambar Jabatan Imigresen Malaysia)
PETALING JAYA:
Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan sindiket membawa masuk warga asing yang menyamar sebagai ahli sukan, didalangi warga Bangladesh.

Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata, menerusi operasi khas pada Khamis lepas sekitar Maluri, Kuala Lumpur, tiga lelaki warga Bangladesh disyaki ‘sindiket’ ditahan.

“Dua lelaki warganegara Bangladesh yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) manakala seorang lelaki warganegara Bangladesh tinggal lebih masa.

“Turut ditahan di lokasi sama, 18 orang lelaki warganegara Bangladesh. Kesemua yang ditahan berusia antara 21 hingga 33 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Zakaria berkata, modus operandi sindiket yang telah beroperasi selama empat bulan itu adalah membawa masuk warga asing, terutamanya dari Bangladesh, menyamar sebagai ahli sukan yang ingin menyertai pertandingan.

“Mereka juga datang dengan berpakaian sukan, menempah tiket untuk pulang semula ke Bangladesh dan menempah bilik di sebuah hotel bajet di Kuala Lumpur sehari sebelum tarikh perlawanan semasa masuk ke Malaysia untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Kadar bayaran yang dikenakan oleh sindiket adalah sebanyak RM2,000 hingga RM5,000 untuk setiap orang,” katanya.

Menerusi serbuan itu juga, pihak berkuasa merampas 18 naskhah pasport Bangladesh, wang tunai RM990 dan surat jemputan menyertai pertandingan sukan beserta jadual pertandingan di negara ini, yang dipercayai palsu.

Zakaria berkata, kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Lenggeng kerana disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Selain itu, katanya, dua lelaki rakyat Malaysia diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.