
Dzulkefly berkata, pasukan petugas khas bebas yang telah ditubuhkan perlu diberi ruang menyiasat kematian Dr Tay Tien Yaa dan melaporkan dapatannya.
“Jangan terburu-buru, belum tegak hendak berlari … Kita tunggu dulu, apakah dapatan (pasukan petugas khas),” katanya kepada pemberita hari ini.
“Setelah kita ada dapatan itu, (bayaran ex-gratia) pasti akan dibayar segera. Itu SOP. Saya sebagai menteri akan pastikan (bayaran) ex gratia itu diberikan (mengikut) dapatan panel bebas itu.”
Tay, seorang pakar patologi di Hospital Lahad Datu, Sabah, meninggal dunia pada 29 Ogos. Adiknya mendakwa, buli mungkin salah satu faktor yang menyebabkan kematiannya.
Dzulkefly berkata, dapatan pasukan petugas khas akan didedahkan kepada umum.
Jumaat lepas, Ahli Parlimen DAP Kota Melaka Khoo Poay Tiong menggesa kerajaan memberikan bayaran ex-gratia yang tinggi kepada keluarga Tay untuk meringankan beban kewangan mereka dan mengiktiraf khidmatnya.
Khoo menzahirkan rasa kecewa respons Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap kematian Tay dilihat lembap, serta kelewatan membentuk pasukan petugas.
Menegaskan KKM mengambil tindakan segera berhubung perkara itu, Dzulkefly berkata, jabatan kesihatan negeri melancarkan siasatan sejurus selepas kematian doktor itu.
Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata, KKM mengeluarkan 86,402 notis bagi kesalahan merokok di kawasan larangan antara Januari hingga Ogos tahun ini.
Dalam tempoh yang sama, kementerian itu menerima 8,762 aduan berhubung pelanggaran larangan merokok.