Warga Palestin cetus kecoh di Wisma Transit, tentera anggap kes terpencil

Warga Palestin cetus kecoh di Wisma Transit, tentera anggap kes terpencil

Panglima Angkatan Tentera Mohammad Ab Rahman berkata insiden itu ditangani dengan profesional dan empati.

Sebelum ini tular beberapa warga Palestin menimbulkan kekecohan di Wisma Transit, Kuala Lumpur.
PETALING JAYA:
Kekecohan dicetuskan beberapa warga Palestin di Wisma Transit, Kuala Lumpur, baru-baru ini merupakan kes terpencil, kata Panglima Angkatan Tentera Mohammad Ab Rahman.

Katanya, insiden itu akan ditangani dengan profesional dan empati susulan kekecohan itu tular di media sosial.

“Mereka terlibat masih menerima rawatan berterusan di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, daripada jumlah keseluruhan 41 orang, sekarang tinggal empat orang sahaja,” katanya menurut Bernama selepas sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-91 Tahun 2024, di Kem Segenting, Port Dickson.

Pada 16 Ogos lalu, Malaysia berjaya membawa 41 rakyat Palestin yang cedera untuk menjalani rawatan di Malaysia, bersama 86 saudara mereka dari Kaherah, Mesir.

Pesakit berkenaan sedang menerima rawatan di HAT Tuanku Mizan di Kuala Lumpur, manakala saudara mereka yang tidak cedera ditempatkan di lokasi transit disediakan Kementerian Pertahanan.

Mohamad berkata, faktor keselamatan warga Palestin di sini ialah keutamaan negara, memandangkan mereka datang untuk mendapatkan rawatan.

“Apabila mereka keluar tanpa pengawasan, kita bimbang akan berlaku perkara tidak diingini, oleh sebab itu setiap kali pergerakan keluar, kita akan membuat pengawasan. Bagaimanapun, mereka telah memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kejadian ini dan kita akan terus memberikan bantuan kepada mereka,” katanya.

Malbatt kekal di Lubnan

Sementara itu, Mohammad berkata pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11 di Lubnan berada dalam keadaan selamat dan keputusan membawa pulang pasukan tertakluk sepenuhnya pada arahan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil).

Beliau berkata, hingga kini pasukan Malbatt negara diarahkan menghentikan semua operasi rondaan dan pergerakan logistik, serta kekal di penempatan masing-masing.

“Prosedur perlindungan di dalam bunker telah diaktifkan mengikut protokol keselamatan yang ditetapkan sehingga keadaan kembali terkawal.

“Kita akan terus memantau perkembangan situasi di Selatan Lubnan, terutama aspek keselamatan anggota bagi memastikan langkah yang diambil selaras dengan keperluan operasi dan keselamatan semasa,” katanya.

Beliau berkata ATM kekal komited dalam menyokong usaha keamanan di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan terus menilai situasi dari semasa ke semasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.