Pusat data Google bantu negara cipta kekayaan baharu, guna tenaga mahir

Pusat data Google bantu negara cipta kekayaan baharu, guna tenaga mahir

Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia berkata ia dapat meningkatkan produktiviti dengan membolehkan akses kepada infrastruktur lebih berteknologi dan efisien.

ANWAR IBRAHIM GOGGLE
Selasa lalu Perdana Menteri Anwar Ibrahim merasmikan majlis pecah tanah pembinaan pusat data dan wilayah awan pertama Google di Malaysia membabitkan pelaburan RM8.29 bilion.
PETALING JAYA:
Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia (Pusma) berpendapat pusat data dan wilayah awan pertama Google yang bakal dibina di Malaysia dapat membantu negara mencipta sumber kekayaan baharu.

Presiden Siti Zarina Ismail berkata, kemudahan itu mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan terutama dalam industri teknologi maklumat (IT) dan jurutera, sekali gus meningkatkan sumber manusia.

Siti Zarina Ismail.

“Ini dapat meningkatkan produktiviti dengan membolehkan akses kepada infrastruktur lebih berteknologi dan efisien. Pada masa sama, secara tidak langsung menjadikan Malaysia sebagai pusat inovasi yang mampu bersaing di peringkat global,” katanya kepada FMT.

Siti Zarina berkata, semua ini membantu menarik lebih banyak pelabur asing mahupun meningkatkan ekonomi negara.

“Satu kemajuan buat Malaysia secara logiknya pembinaan pusat data ini, bukan sahaja dapat menstabilkan ekonomi malah membantu negara lebih bersedia menghadapi cabaran dunia digital,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Institut Strategik dan Pengajian Antarabangsa (Isis), Farlina Said, berkata pembinaan pusat data berkenaan dapat mengurangkan kependaman (lengah masa) rangkaian bagi pengguna dengan memastikan pengalaman dalam talian lebih pantas.

Farlina Said.

Katanya, ia penting dari sudut produktiviti terutama apabila sesetengah perkhidmatan menggunakan kecerdasan buatan (AI) seperti gambaran keseluruhan aplikasi itu dalam enjin carian.

Menurutnya, Malaysia perlu mempunyai perancangan dan dasar yang luas untuk membina industri infrastruktur sepadan atau boleh memanfaatkan perkhidmatan disediakan pusat data itu.

“Kunci keberhasilan produktiviti dan bakat bergantung lebih daripada infrastruktur (pusat data). Sokongan industri sepadan seperti aktiviti ekonomi digital, rancangan pembangunan bakat AI juga perlu diwujudkan untuk memberi nilai tambah kepada perkhidmatan ditawarkan pusat data,” katanya.

Selasa lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim merasmikan majlis pecah tanah pembinaan pusat data dan wilayah awan pertama Google di Malaysia membabitkan pelaburan RM8.29 bilion.

Pusat data akan dibina di Elmina Business Park itu diyakini mampu menangani peningkatan permintaan terhadap keupayaan Google Cloud, inovasi AI, serta produk dan perkhidmatan digital lain digunakan rakyat dan organisasi di Malaysia setiap hari.

Pelaburan itu dianggarkan dapat menyumbang lebih daripada RM13.27 bilion kepada ekonomi Malaysia dan mewujudkan 26,500 peluang pekerjaan menjelang 2030.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.